Pulau Pinang digesa perjelas isu pencemaran ternakan babi

249

2 JUN: Kerajaan negeri digesa memberikan penjelasan mengenai isu pencemaran akibat projek penternakan lebih 300,000 ekor babi di Kampung Selamat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya, menjelaskan projek penternakan babi berkenaan sebenarnya bukan terletak di kawasannya iaitu Parlimen Tasek Gelugor.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Tasek Gelugur berkenaan berkata pusat penternakan babi berkenaan terletak di Kampung Selamat dalam DUN Pinang Tunggal iaitu kawasan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1), Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Oleh yang demikian, isu punca pencemaran najis babi di Kampung Selamat perlu ditangani oleh kerajaan negeri dan wakil rakyat kawasan Kepala Batas tersebut.

SHABUDIN

“Cuba tanya apa Yb Zakiyudin (TKM 1) dan Dr Norlela Ariffin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Berasaskan Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan buat untuk selesaikan masalah ini.

“Kes ini telah dibawa sekian lama dan dah dimaklumkan pun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Persoalannya, apakah pendirian kerajaan negeri yang jelas dan menyakinkan mengenai isu penternakan babi yang dikatakan melebihi 300,000 ekor di Kampung Selamat dalam DUN Pinang Tunggal berkenaan,” soalnya dalam satu hantaran menerusi akaun Facebooknya di sini hari ini.

Shabudin berkata isu ladang babi di Kampung Selamat amat tidak sistematik dan ianya adalah di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran Seberang Prai (MBSP) dan kerajaan negeri Pulau Pinang

Beliau berkata persoalan pencemaran juga sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk dari beliau selaku Ahli Parlimen Tasek Gelugur dan ADUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman, namun sehingga kini tiada tindakan efektif diambil oleh kerajaan Pulau Pinang.

“Lawatan daripada Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar juga telah dibuat ke kawasan berkenaan dan berjanji akan mengambil tindakan walaupun  tiada siapa yang kena tindakan sehingga sekarang.

“Pendek kata, semua usaha telah dibuat oleh pelbagai pihak dan sedia dimaklumi oleh agensi di peringkat Kementerian dan kerajaan negeri. Cuma yang ditunggu ialah apa dan bila tindakan yang akan diambil sahaja,” katanya.

Sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugur, Shabudin berkata beliau telah mengambil tindakan untuk kawasan yang terjejas pencemaran di kawasannya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan membina saliran baharu bernilai RM2.3 juta yg mengalirkan air dari Sungai Jarak / Padang Chempedak yang tidak tercemar ke sawah padi di kawasan Pokok Tampang, Lahar Yooi , Permatang Berangan, Labuh Banting dan kawasan sekitar.

“Selain dari itu, pembinaan sekatan yang menghalang air tercemar daripada memasuki kawasan sawah telah dibina dan dinaik taraf. Sehingga kini isu air tercemar di kawasan tersebut telah hampir selesai.

“Hari ini, saya diberi taklimat oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), JPS dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai cadangan dan perancangan untuk atasi pencemaran Sungai Kereh dengan peruntukan berjumlah RM800,000,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.