PM zahir ucapan terima kasih kepada penjawat awam

25

2 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghargai dan menyambut baik solidariti 800,000 penjawat awam menyumbangkan sebahagian imbuhan tetap mereka ke Akaun Amanah Bencana COVID-19.

Katanya, komitmen itu membuktikan
kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan memerangi pandemik terbabit.

Beliau berkata, solidariti itu juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan petugas barisan hadapan yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi rakyat daripada jangkitan COVID-19.

“Saya amat menghargai dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang akan turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi COVID-19 melalui potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA), sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, semalam.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terbabit secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik ini. 

“Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah swt. Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah,” katanya menerusi muat naik di Facebook, hari ini.

Semalam, Mohd Zuki dalam kenyataannya menerusi pekeliling, memaklumkan seramai 800,000 penjawat awam akan menyumbangkan sebahagian imbuhan tetap mereka selama tiga bulan kepada Akaun Amanah Bencana, sebagai manifestasi solidariti bagi memperkasa rakyat dan ekonomi ketika COVID-19.

Jumlah keseluruhan sumbangan yang dianggarkan lebih RM30 juta itu, membabitkan ITK bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, selain ITKA bagi Gred 29 hingga Gred 41, dengan nilai pemotongan antara RM10 sehingga 50 peratus mengikut gred jawatan masing-masing.

Sumbangan berkenaan tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam di bawah Gred 1 sehingga Gred 28. –Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.