Empat lelaki cuba rentas negeri dikompaun RM5,000 seorang

14

2 JUN : Polis mengeluarkan kompaun bernilai keseluruhan RM20,000 terhadap empat individu dari Selangor dan Negeri Sembilan kerana gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri ketika cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya sempena pelaksanaan ‘Total Lockdown’ atau Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) penuh berkuatkuasa di seluruh negara, mulai semalam.

Mereka dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 seorang kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata mereka adalah antara 2,376 individu dan 2,010 kenderaan diperiksa pihak berkuasa terdiri daripada polis,  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di empat SJR di jalan keluar masuk utama ke Putrajaya, semalam.

Beliau berkata daripada 2,010 kenderaan diperiksa 17 kenderaan arah berpatah balik kerana tidak memiliki surat rentas daerah dan sempadan serta surat kebenaran beroperasi dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kebanyakan kenderaan yang diarahkan berpatah balik adalah terdiri daripada mereka yang datang daripada kawasan berjiran dengan daerah ini terutama Dengkil, Bangi dan Cyberjaya yang cuba memasuki Putrajaya tanpa surat kebenaran rentas daerah.

“Saya berpandangan bahawa tidak ramai yang melakukan kesalahan cuba merentas negeri dan daerah sekarang kerana orang ramai sudah mula memahami dan menerima dengan hati terbuka mengenai tujuan sebenar kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pemasangan besi penghadang jalan di Lebuh Sentosa di Putrajaya sebentar tadi. 

Dalam pada itu Mohd Fadzil berkata polis juga akan memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di SJR dan ke pejabat kerajaan dan premis perniagaan serta pembankang  di Putrajaya bagi memastikan mereka mengikut SOP dan syarat operasi ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI.

Berikutan itu, polis dengan kerjasama pasukan keselamatan lain juga menubuhkan pasukan khas bagi melakukan pemeriksaan ke setiap pejabat kerajaan dan premis perniagaan di Putrajaya bagi mengesan mereka yang melanggar SOP ditetapkan MKN dan MITI.

“Kita juga menutup tiga lagi jalan utama keluar masuk ke Putrajaya iaitu di Persiaran Timur menghala keluar ke Desa Pinggiran Putra; Lebuh Wadi Ehsan menghala ke Desa Pinggiran Putra (Presint 19) dan persimpangan Jabatan Saujana menghala ke Lebuh Sentosa (Lebuh Raya MEX, Dengkil, Cyberjaya dan Kuala Lumpur) mulai jam 8 malan ini bagi mengurangkan pergerakan keluar masuk kenderaan ke Putrajaya.

“Sebelum ini polis dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah menutup tujuh jalan utama keluar masuk ke Putrajaya bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di Pusat Pentabdiran Kerajaan berikutan pelaksanaan PKP 3.0 mulai 25 Mei lalu,” katanya.

Tujuh jalan ditutup sebelum ini adalah Jalan Presint 5 menghala ke Taman Cabaran dan Dengkil; Jalan Resam menghala ke Puchong; Jalan Presint 11 menghala keluar/masuk ke Cyberjaya; Jalan Presint 14J menghala masuk/keluar ke Sungai Merab, Bangi; Jalan Pintu 1, Presint 14; Jalan P7E, Presint 7, Putrajaya Central keluar ke Putrajaya dan Jalan P5, Presint 5, menghala ke Dengkil

Get real time updates directly on you device, subscribe now.