UMNO sokong program bantuan PEMERKASA Plus

34

1 JUN: UMNO menyambut baik dan menyifatkan langkah tepat program bantuan PEMERKASA Plus yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO berharap segala insentif yang diumumkan itu segera dilaksanakan selain perlu dilakukan dengan telus, amanah dan cekap.

“Program bantuan PEMERKASA Plus adalah sangat diperlukan oleh rakyat. Keputusan menteri dan timbalan menteri untuk tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun juga sesuatu yang baik.

“Namun ia juga mestilah termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang lain. Dalam keadaan negara menghadapi krisis yang genting, jemaah menteri perlu menunjukkan kepemimpinan menerusi teladan dan sepatutnya telah lama dipamerkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MOHAMAD HASAN

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diteruskan juga sangat bertepatan dengan keadaan semasa.

Beliau berkata, kerajaan sedaya upaya meluaskan bantuan kepada seramai mungkin rakyat, namun strategi itu mungkin boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.

“Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” katanya.

Mohamad juga berkata, usaha menambah dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam adalah penting ketika negara sangat memerlukan lebih banyak unit rawatan rapi (ICU), sumber tenaga dan program vaksinasi.

Katanya, menyedari kekangan fiskal kerajaan, amatlah penting setiap sen peruntukan diberikan untuk meningkatkan kapasiti sektor kesihatan awam ini dimanfaatkan dengan telus.

“Kita tidak mahu pelaksanaannya nanti terjadi ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran.

“Peruntukan yang banyak mesti mendatangkan impak berganda, kita mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.