Tiga sektor kendalian KeTSA dibenar beroperasi

24

1 JUN: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) meletakkan beberapa perkhidmatan di bawah pengurusannya membabitkan tiga sektor sebagai perkhidmatan perlu (essential services) dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan penuh pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Menteri KeTSA, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata sektor itu adalah Pembekalan Elektrik di Semenanjung dan Sabah, Pengurusan Perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) serta Pengurusan Hidupan Liar dan Kawasan Perlindungan (terhad kepada penguatkuasaan dan aktiviti terpilih)

Katanya, aktiviti di bawah perkhidmatan Pembekalan Elektrik di Semenanjung dan Sabah adalah pemulihan bekalan, pembaikan, kerosakan dan pengendalian serta sistem bekalan elektrik.

Aktiviti lain di bawah perkhidmatan itu, katanya, adalah pelaksanaan projek-projek pengukuhan sistem dan penyelenggaraan kritikal bagi sistem bekalan elektrik yang akan ditentukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

SHAMSUL ANUAR

Jelasnya, aktiviti lain di bawahnya adalah berkaitan perkhidmatan pengguna, iaitu bacaan meter dan penghantaran bil fizikal di premis pelanggan.

“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), perkara ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

“Operasi Kedai Tenaga di Semenanjung adalah dari jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari, manakala Pusat Khidmat Pelanggan di Sabah tidak akan beroperasi sepanjang tempoh PKP untuk dua minggu ini, jadi urusan pembayaran bil, pertanyaan berkaitan bil dan akaun, pemotongan dan penyambungan bekalan serta aduan dan permintaan perkhidmatan berkaitan boleh dibuat secara atas talian atau menghubungi TNB CareLine (1300-88-5454 atau 15454) dan SESB CareLine (088-515000 atau 15454).

“Pembayaran bil boleh dibuat di mesin kios pembayaran layan diri yang beroperasi dari jam 8:15 pagi sehingga 8 malam di Semenanjung dan 24 jam di Sabah, manakala penyambungan bekalan baharu dan pemasangan meter kritikal (yang akan ditentukan TNB dan SESB, umpamanya kepada fasiliti kesihatan, pusat vaksin dan sebagainya),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, aktiviti pembangunan tenaga boleh baharu dibenarkan, manakala projek tenaga boleh baharu di bawah Program Large Scale Solar (LSS), Net Energy Metering (NEM) dan Feed-In Tariff (FiT) adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP itu, kecuali bagi projek sedia ada yang perlu diteruskan untuk memastikan keselamatan awam serta keselamatan di tapak projek.

“Bagi loji jana kuasa bekalan elektrik yang bersambung ke grid (termasuk loji jana kuasa mini hidro, solar, biojisim dan biogas) yang beroperasi, hanya kerja operasi harian dibenarkan dengan bilangan pekerja digalakkan tidak melebihi 30 peratus dan had maksimum dibenarkan adalah sebanyak 50 peratus, manakala bilangan pihak pengurusan tidak melebihi 10 peratus.

“Berhubung kebenaran beroperasi sepanjang tempoh PKP ini juga, bagi syarikat belum mendapat kelulusan rasmi daripada KeTSA untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP, permohonan boleh dikemukakan melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Selain itu, Shamsul Anuar berkata, sepanjang tempoh PKP dua minggu ini, tiada pemotongan bekalan elektrik di Semenanjung dan Sabah.

Menyentuh mengenai aktiviti dibenarkan di bawah sektor Pengurusan perhutanan, katanya, bagi sektor itu di Semenanjung, hanya operasi penguatkuasaan dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk memastikan kawasan litupan hijau dan hutan terus terpelihara.

Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata, sebagai langkah tambahan, segala aktiviti dalam Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri tidak dibenarkan kepada pengunjung. 

Aktiviti dibenarkan di bawah sektor Pengurusan hidupan liar dan kawasan perlindungan hanya membabitkan operasi penguatkuasaan dibenarkan bagi terus melindungi khazanah sumber biodiversiti negara, membabitkan kapasiti terhad dan tiada sebarang lawatan atau kehadiran pengunjung.

“Ini membabitkan Pengoperasian Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (PMHLK), aktiviti pengurusan hidupan liar di Zoo dan pameran tetap serta pembiakbakaan hidupan liar serta operasi penguatkuasaan hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, kesemua penguatkuasaan SOP terbabit berkuat kuasa bagi tempoh 14 hari bermula hari ini dan akan dinilai semula pelaksanaannya setelah tamat tempoh berkenaan.

“KeTSA sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan penting di bawah kawal selia kementerian diteruskan dengan meminimakan impak kepada rakyat di sepanjang tempoh PKP ini, malah kita akan terus beroperasi berdasarkan kepada Surat Arahan JPA yang berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP Fasa 1.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan kepada talian hotline 03-8886 1665 / 019-669 6842 atau emel kepada ketsa.spab.gov.my

“Dalam masa sama, saya menyeru kerjasama semua pihak supaya sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa dalam membendung penularan COVID-19,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.