SPRM siasat penjualan tanah di Ampang

39

1 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan wujud salah guna kuasa dalam penjualan dua lot tanah milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Ampang, Kuala Lumpur, seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Berikutan itu SPRM akan memanggil bekas Pengerusi LGM Datuk Ahmad Nazlan Idris, bagi meminta penjelasan berhubung pendedahannya mengenai isu LGM Properties Corporation (LGM PC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata siasatan berhubung isu itu sedang dijalankan pegawainya.

AHMAD NAZLAN

“SPRM ada menerima aduan berkaitan isu ini dan sedang menjalankan siasatan.

“SPRM juga akan memanggil bekas pengerusi (LGM) untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada beliau,” katanya ketika dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran.

Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut semalam tampil memberi penjelasan dan menafikan terbabit dalam isu berkenaan serta sedia disiasat SPRM.

“Harus saya tekankan segala tuduhan terhadap diri saya tidak benar dan saya sudah cuba bersama dengan Ahli Lembaga Pengarah yang lain menjalankan tugas dengan penuh integriti.

“Saya mendapat kerjasama sepenuhnya dari Ahli Lembaga Pengarah LGM dan mereka sangat komited dan bertanggungjawab dalam hal perancangan dan pengurusan,” menurut kenyataan medianya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.