Pemuda Gerakan gesa saringan besar-besaran di zon merah

37

1 JUN: Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan melaksanakan saringan besar-besaran COVID-19 di kawasan zon merah berikutan kes penyebaran wabak itu yang semakin meningkat dan membimbangkan. 

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen, berkata ini perlu dilakukan kerana kemungkinan terdapat mereka yang telah dijangkiti belum dikenalpasti kerana kebanyakan kes positif kini tidak mempunyai simptom. 

Beliau yakin saringan besar-besaran itu jika dilaksanakan segera pasti berkesan disebabkan Pergerakan orang ramai sudah dapat dikawal berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh oleh kerajaan. 

“Kes jangkitan harian dua minggu dari hari ini pasti turun mendadak kerana rantaian penyebaran virus diputuskan apabila mereka yang didapati positif dihantar ke pusat kuarantin. 

“Setahun dari penularan wabak Covid-19, proses dan pengendalian saringan sudahpun matang dan diperkenalkan di klinik swasta seluruh Malaysia, untuk kedua-dua kaedah saringan iaitu RT-PCR dan RTK-Antigen. 

“Keputusan saringan juga dapat diterima dalam jangka masa sehari. Jadi, pelaksanaan saringan boleh diagihkan kepada klinik-kinik swasta yang berada dalam zon merah supaya saringan penuh ini boleh dilakukan dalam masa yang singkat,” katanya. 

Dalam pada itu, Chia Zhen memberitahu tempoh PKP penuh ini merupakan satu tempoh ‘cooldown’ yang memberi kesempatan kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai usaha bagi mengawal penularan COVID-19. 

“Saban hari kes jangkitan COVID-19 mencecah angka beribu. Tempoh ini dapat mengehad pergerakan berkelompak dalam kalangan masyarakat. 

“Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin telahpun mengumumkan beberapa langkah untuk mempercepat kadar imunisasi. 

“Jadi, ini adalah tepat pada masanya, sekiranya saringan besar-besaran dibuat serentak dengan inisiatif kerajaan yang baru ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.