PAS sambut baik PEMERKASA Plus

29

1 JUN: PAS menyambut baik pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) oleh Perdana Menteri dalam mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau turut menyokong sepenuhnya tindakan tiga bulan gaji daripada seluruh jemaah menteri dan timbalan menteri digunakan untuk kebaikan dan kebajikan rakyat yang memerlukan.

“Saya menyokong tindakan dan usaha daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri dengan inisiatif PEMERKASA Plus yang telah diumumkan. 

“Semoga inisiatif yang diumumkan ini akan dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi rakyat semasa kita berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal wabak pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, malam tadi. 

Terdahulu, Perdana Menteri semalam mengumumkan pelaksanaan PEMERKASA Plus bernilai RM40 bilion yang membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Katanya, pelaksanaan PEMERKASA Plus menetapkan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara ‘lives and livelihood’ iaitu keperluan untuk melindungi nyawa, dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memaklumkan keutamaan pihaknya adalah bagi memastikan supaya sektor kesihatan dapat berfungsi dengan penuh efisien, meneruskan agenda kebajikan rakyat serta menyokong kelangsungan perniagaan.

“Wabak pandemik COVID-19 yang melanda kita sejak tahun lalu menyaksikan peningkatan kes yang mendadak sejak April. 

“Di peringkat PAS, kami melancarkan kempen Kutipan Dana Tabung Bencana COVID-19 bagi membantu rakyat yang terjejas dengan wabak ini.

“Saya menyeru supaya rakyat untuk mendaftarkan diri dan keluarga terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mewujudkan imuniti berkelompok,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.