Kerajaan sokong MRCS laksana kempen “Humanitarian Aid Fundraising”

40

1 JUN: Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia atau Malaysia Red Crescent Society (MRCS) dalam melaksanakan Kempen “Humanitarian Aid Fundraising” untuk rakyat Palestin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kempen tersebut dilaksanakan bertujuan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak yang akan digunakan bagi menyediakan bantuan kebajikan dan kecemasan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin ketika ini.

Menurut beliau, antara sebab kempen itu  mendapat sokongan kerana MRCS merupakan badan pertubuhan pertama yang hadir ke Kementerian Luar Negeri seterusnya mengalu-alukan kementeriannya menyokong “Humanitarian Aid Fundraising”. 

“MCRS juga telah bersetuju untuk bertanggungjawab mengumpul sumbangan dana kewangan daripada individu-individu yang ingin menyumbang.

“Untuk perhatian umum, dana yang dikumpul oleh MRCS ini akan disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri. 

“Dana itu kemudiannya akan diserahkan terus kepada Palestinian Red Crescent Society (PRCS). Buat masa ini, sumbangan yang diperlukan ialah berbentuk kewangan.

“Bagi menampung keperluan ini dengan kadar segera, pihak MRCS menyasarkan kutipan dana kewangan berjumlah kira-kira RM1 juta sehingga akhir Jun ini. 

“Seperti saya sebut sebelum ini, susulan gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada 21 Mei lalu, fokus Malaysia sekarang sememangnya untuk  mengusahakan bantuan kemanusiaan khususnya kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin amat mengalu-alukan tindakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta badan kerajaan untuk turut sama menyalurkan sumbangan terus ke AAKRP sebaik sahaja kempen kutipan dana yang digerakkan sendiri selesai.

Beliau berkata sumbangan itu tidak menjadi kewajipan namun pihak Kementerian Luar Negeri sedia membantu mana-mana pihak yang berhasrat menyumbang dan mahukan kepastian bahawa sumbangan tersebut akan sampai ke tangan rakyat Palestin.

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Luar Negeri amat mengalu-alukan semua pihak untuk menyumbang menerusi kempen ini. 

“Semoga Allah SWT mempermudahkan setiap urusan kita demi membantu perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman, penindasan dan penjajahan Israel. InsyaAllah,” katanya. 

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan  pendirian Malaysia masih tidak berganjak dan akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka menentang Zionis Israel. 

“Malaysia akan sentiasa menyokong Palestin dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis (East Jerusalem) sebagai ibukota Palestin, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.