Jumlah kenderaan menurun lebih 70 peratus – Hamzah

8

1 JUN: Pergerakan kenderaan di jalan raya pada hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), secara purata menurun sehingga 70 peratus di seluruh negara. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata laporan diterima daripada Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias itu membuktikan majoriti rakyat memahami matlamat kerajaan bagi mengurangkan pergerakan dalam negara ketika ini.

“Laporan saya dapat daripada Ketua Trafik Bukit Aman, memaklumkan pergerakan di jalan raya agak berkurangan, ada kawasan sehingga 90 peratus.

“Tetapi secara keseluruhannya purata pergerakan kenderaan menurun antara 70 sehingga 80 peratus, iaitu kurang daripada kebiasaannya.

HAMZAH

“Alhamdulillah ini adalah laporan yang baik dan kita minta berterusan supaya dapat kita membantu membengkokkan dan akhirnya melatarkan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Jelutong menghala ke Shah Alam, hari ini.

Selain lokasi itu, Hamzah turut meninjau SJR Tol Subang arah masuk di Petaling Jaya dan SJR Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur (Brickfields).

Berhubung usaha ‘turun padang’ meninjau SJR Bukit Jelutong, katanya, beliau mahu melihat sendiri perkembangan di sekitar Shah Alam memandangkan kawasan itu mempunyai banyak sektor ekonomi.

“Terima kasih kepada semua anggota kita yang bertugas, hari ini saya hadir hendak melihat perkembangan sekatan jalan raya di Selangor sekarang, terutama kawasan Shah Alam kerana ada banyak sektor ekonomi.

“Pegawai mengendalikan SJR ini juga memberitahu peratusan penurunan pergerakan kenderaan melalui kawasan ini adalah tinggi, sehingga kini mencecah 20 peratus sahaja.

“Pegawai kita juga memaklumkan belum ada seorang pun yang melanggar prosedur operasi standard (SOP), justeru ini menunjukkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya di kawasan ini, Alhamdulillah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan dakwaan beberapa individu bahawa berlaku kesesakan trafik di sesetengah lokasi susulan SJR.

“Kesesakan ini kerana polis perlu memastikan semua pengguna jalan raya mengikut kaedah diluluskan.

“Walaupun terdapat sedikit kekecohan mengenai kelulusan untuk mereka bergerak, perkara ini tidak menyulitkan kerana polis memahaminya, malah kita ambil maklum dan mereka akan mendapat surat baharu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.