COVID-19 : Lima negeri catat peningkatan kes jangkitan baharu

10

1 JUN: Setelah dua hari mencatatkan penurunan, kes baharu COVID-19 kembali meningkat semula hari ini iaitu sebanyak 7,105 kes menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 579,462 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 2, 068 kes namun menurun sedikit berbanding semalam iaitu 2,111 kes.

“Selain itu, antara negeri yang menunjukkan penurunan kes hari ini adalah Kelantan (531), Johor (431), Kedah (236), Melaka (249), Labuan (190),Pahang (190), Sabah (318),dan Terengganu (198), 

“Lima negeri menunjukkan peningkatan iaitu Sarawak (704), Kuala Lumpur (817), Pulau Pinang (400), Perak (387), dan Negeri Sembilan (397). 

“Hanya satu negeri mencatatkan jumlah di bawah ratus iaitu Putrajaya sebanyak 18 kes yang turut menunjukkan penurunan manakala Perlis berjaya mencapai sifar kes baharu hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza di Twitter miliknya, Noor Hisham memaklumkan Malaysia merekodkan seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti Covid-19 dari 25 Januari tahun lalu sehingga kelmarin. 

Daripada jumlah itu, katanya 19,851 kes melibatkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun, 8,237 (5 hingga 6 tahun), 26,851 (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit Covid-19. 

“Virus COVID-19 sudah berada dan merebak kalangan komuniti kita. Orang dewasa khususnya ibu bapa perlu memberi perlindungan sepenuhnya agar mereka tidak terdedah dengan jangkitan ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.