Total Lockdown tamat jika di bawah 8,000 kes

163

31 MEI: Kerajaan hanya akan menamatkan penutupan sepenuhnya sektor ekonomi dan sosial atau ‘Total Lockdown’ Fasa Pertama jika bilangan kes positif harian COVID-19 secara konsisten berada di bawah 8,000 kes dalam tempoh dua minggu akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata perkara itu masih tertakluk kepada penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Rodzi berkata perubahan dari satu fasa ke fasa lain  juga mengambil kira jumlah kes terkumpul dan kapasiti katil untuk merawat pesakit Covid-19 yang ada di hospital seluruh negara.

“Kita melihat kepada jumlah kes harian, pada amnya apabila jumlah kes melebihi 8,000 ke 13,000 (sebagaimana unjuran KKM) ia adalah sangat kritikal dan berada pada tahap tindakan Fasa Pertama.

“Jika sehingga 14 Jun ini penilaian dijalankan KKM dan jumlah kes harian berada di paras bawah 8,000, kita akan beralih ke Fasa Kedua, dengan kerajaan akan meneliti sektor atau komponen kehidupan yang boleh dilonggarkan,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Penutupan penuh Fasa Kedua akan dilaksanakan dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Difahamkan pelaksanaan perintah penutupan penuh itu juga akan dilaksanakan bagi tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir. Jika jumlah kes terus menurun, Fasa Ketiga akan dikuatkuasakan dan ia adalah sama seperti PKP sebelum ini.

Mengulas lanjut, Rodzi berkata pihak berkuasa dan kementerian berkenaan juga akan melakukan pemantau dan pemeriksaan bagi memastikan tiada majikan pihak swasta menyalahguna kapasiti operasi yang dihadkan kepada 60 peratus ditetapkan kerajaan.

Berikutan itu, Rodzi berkata orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, kemusykilan dan aduan boleh terus menghubungi bilik gerakan kementerian dan agensi terbabit untuk tindakan selanjutnya.

“Kita akan melihat mekanisme kawalan dan pemantauan ini supaya semua pihak boleh jadi mata dan telinga dengan melapor kegagalan pematuhan kepada pihak berkuasa dan tindakan undang-undang akan diambil kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Rodzi berkata, MKN sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan penutupan penuh Fasa Pertama, Kedua dan Ketiga dengan mengoptimumkan segala sumber dan kekuatan yang ada.

“Sudah tentu MKN bersama seluruh jentera kerajaan akan sentiasa memainkan peranan secara aktif dan terus komited untuk membendung penularan COVID-19. Usaha ini sudah tentu tidak akan berjaya tanpa komitmen, kesungguhan dan tindakan rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.