‘Total lockdown’: KPT umum proses pengoperasian IPT

77

31 MEI: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan proses pengoperasian institusi pendidikan tinggi (IPT) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara mulai esok.

Menurut kenyataan KPT, semua pelajar berkeperluan yang telah berada di kampus diminta untuk terus kekal
berada di kampus.

Katanya bagi pelajar berkeperluan yang masih belum pulang ke kampus diminta untuk menangguhkan pergerakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Pelajar perlu kekal berada di lokaliti masing-masing dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

“Pelajar perlu berada di dalam kampus dan hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran pengurusan IPT dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” kata KPT dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut KPT, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

Katanya, aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal dan peralatan khas yang berkeperluan sahaja dan secara individu adalah dibenarkan dengan kebenaran ketua jabatan mengikut SOP yang ketat.

“Pihak IPT bertanggungjawab untuk memastikan SOP dipatuhi oleh semua pelajar berkenaan.

“Pelajar luar kampus yang terlibat dengan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal dan peralatan khas, perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing,” katanya.

KPT berkata semua kakitangan akademik dan bukan akademik 100 peratus akan bekerja dari rumah (BDR) dan kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.

“Kehadiran staf akademik dan bukan akademik bagi semua IPT hendaklah tidak melebihi 20 peratus dan penggiliran kakitangan adalah bagi tempoh maksimum empat jam sahaja.

“Staf akademik dan bukan akademik tidak dibenarkan hadir ke pejabat kecuali untuk perkhidmatan perlu dengan disertai dokumen arahan rasmi daripada IPT masing-masing dan pas pekerja,” katanya.

Katanya, semua mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti secara fizikal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.