Polis Selangor panggil ibu Neelofa

43

31 MEI: Ibu kepada selebriti kontroversi, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed akan dipanggil memberi keterangan kepada polis dalam masa terdekat berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman Instagram (IG) miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata sebelum ini kes itu disiasat polis Kuala Lumpur, namun diserahkan kepada pihaknya selepas didapati insiden itu berlaku di Selangor.

“Saya dimaklumkan wanita itu membuat laporan polis di Kuala Lumpur dan percakapannya sudah direkod oleh polis di kontinjen berkenaan.

“Namun, kes itu kini diserahkan kepada polis Selangor dan sebab itu, wanita berkenaan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Kita juga akan memanggil individu lain termasuk kakitangan wanita yang dikatakan mempunyai akses membuka laman Instagram milik ibu selebriti itu dan membuat hantaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, polis dilaporkan memulakan siasatan berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui laman IG Noor Kartini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, dipetik berkata pihaknya menerima satu laporan berkaitan perkara itu, kira-kira jam 5.44 petang semalam oleh pemilik akaun Instagram berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Sebelum ini, tular tangkap layar IG Story Noor Kartini dalam laman sosial yang kebanyakannya kesal dengan perkataan kasar digunakan.

Bagaimanapun, hantaran dalam IG Story itu dipadam selepas beberapa minit dimuat naik, petang semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.