Permohonan Malaysia Tubuh Panel Undang-undang EU Diluluskan

6

31 MEI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengesahkan permohonan kedua Malaysia bagi menubuhkan panel undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) berikutan kempen anti minyak sawit telah diluluskan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) menerusi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bersidang pada 28 Mei 2021.

Menurut beliau, DSB dalam mesyuaratnya bersetuju dengan permohonan kali kedua Malaysia untuk menubuhkan panel bagi meneliti langkah yang diambil oleh EU dalam pelaksanaan Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II).

“Permohonan pertama bagi penubuhan panel ini sudah dibincangkan dalam Mesyuarat DSB pada 28 April 2021.

“Namun permohonan itu tidak dipersetujui oleh EU yang tetap dengan pendirian bahawa tindakan mereka adalah berasas dan selaras dengan perundangan WTO,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin memberitahu, permohonan penubuhan panel oleh Malaysia adalah selaras dengan peraturan dan prosedur yang digariskan di bawah WTO.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berikutan tiada penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang diadakan bersama EU pada 17 Mac lalu.

“Justeru Malaysia komited dalam meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Januari lalu.

“Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan tindakan itu perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit.

” Malaysia melalui KPKK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan sewajarnya dalam proses itu demi mempertahankan industri sawit negara,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.