Perkhidmatan Rapid Kamunting ditamatkan 15 Jun ini

51

31 MEI: Perkhidmatan bas, Rapid Kamunting akan ditamatkan pada 15 Jun ini selepas lebih lima tahun beroperasi.

Menerusi kenyataan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), keputusan sukar itu terpaksa diambil kerana kekangan dana dan permintaan rendah bagi perkhidmatan bas sejak awal operasinya di sekitar Kamunting.

“Sokongan dan dana daripada Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi pengendalian perkhidmatan itu sudah tamat sejak Februari 2019, malah selepas itu pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak lagi menyatakan minat untuk meneruskan Rapid Kamunting. 

“Namun, Rapid Bus meneruskan perkhidmatan bas atas komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam terbabit walaupun terus mengalami kerugian,” katanya menerusi kenyataan itu, hari ini.

Rapid Bus menyatakan, seperti syarikat pengangkutan awam lain, Rapid Kamunting tidak terkecuali daripada kesan COVID-19, menyaksikan kemerosotan jumlah penumpang kepada 30 peratus sahaja yang menyebabkan Rapid Kamunting berhadapan cabaran getir untuk menampung kos pengoperasian.

Susulan itu, katanya, Rapid Bus memohon maaf kepada pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa mengundur diri.

Jelasnya, keputusan itu bukan mudah dan sudah dibincangkan di peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan syarikat berkenaan. 

Selain itu, Rapid Bus berkata, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan semua pelanggan dan sumbangan kakitangan Rapid Kamunting selama ini.  

“Sebagai satu entiti pengoperasian, Rapid Bus menyedari akan tugasnya untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam selamat, boleh dipercayai dan selesa kepada rakyat.

“Kami juga menyedari bahawa untuk memastikan sesuatu perkhidmatan disediakan itu adalah mapan dan lestari, perlulah menjanakan pendapatan yang mencukupi demi kesinambungan  perkhidmatan,” katanya.

Memulakan operasi pada Mac 2016, Rapid Kamunting yang menjadi inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kerajaan melalui kerjasama dengan NCIA, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan PRASARANA, menyediakan perkhidmatan di tiga laluan – Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana – Kg Boyan).

Usaha itu sebagai memangkin pertumbuhan ekonomi, kesalinghubungan dan kemudahan rakyat serta penduduk setempat. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.