Pengangkutan Awam Beroperasi Dengan Kapasiti 50 Peratus

37

31 MEI: Semua pengendali pengangkutan awam darat dan laut dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50 peratus kecuali syarikat penerbangan berikutan peratusan penumpang yang sedia ada adalah rendah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, semua pengendali dibenarkan menentukan frekuensi atau kekerapan perkhidmatan masing-masing secara optimum bagi mengelakkan kesesakan di terminal, dan platform, serta memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya.

Menurut beliau,  hanya dua orang termasuk pemandu termasuk penumpang dibenarkan ke atas teksi, e hailing serta kenderaan persendirian di samping tiga orang turut  dibenarkan namun hanya untuk tujuan perubatan serta kecemasan. 

“Selain itu, syarikat logistik, lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi pada tahap optimum namun pengendali mestilah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap SOP yang ditetapkan MKN dan KKM.

“Syarikat logistik adalah merujuk kepada syarikat yang berkaitan dengan pengangkutan darat, laut, dan udara serta pengendalian barangan termasuk perniagaan e-dagang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengeluarkan surat kelulusan baharu untuk membolehkan syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah SMILE dapat beroperasi pada Fasa Pertama sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ ini.

Beliau berkata, semua surat yang dikeluarkan di bawah SMILE sebelum ini adalah terbatal dan tidak sah dan surat kelulusan baharu kini boleh dimuat turun dan diharap mereka yang terlibat boleh merujuk https://application.mot.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. 

“MOT menggesa para kakitangan dan seluruh rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam supaya mematuhi SOP di semua stesen dan terminal. 

“Ini termasuklah menggunakan cecair 
pembasmi kuman, memakai pelitup separuh muka, mengamalkan  penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera jika diperlukan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.