PBS akan terus sokong Gabungan Rakyat Sabah

53

31 MEI: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus memberi sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan negeri ketika ini tanpa berbelah bahagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata parti itu tidak mungkin dapat bekerjasama dengan pembangkang, khususnya Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang sebelum ini dikhabarkan mahu menjalin kerjasama dengan PBS.

Beliau sebaliknya mengajak WARISAN untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana berpendapat hanya menerusi cara itu kedua-dua parti boleh bekerjasama.

“Sebagai tulang belakang kerajaan negeri, tiada sebab untuk PBS mengambil tindakan yang boleh merosakkan perpaduan dan kekuatan dalam GRS. PBS juga terus komited memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor selaku ketua kerajaan negeri dan Pengerusi GRS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, pendirian dan komitmen PBS itu dinyatakan dengan jelas ketika kunjungan hormat pemimpin tertinggi PBS yang diketuainya terhadap Hajiji, semalam.

Kunjungan hormat itu katanya disertai tiga Timbalan Presiden PBS iaitu Datuk Radin Maleh, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai; Naib Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai.

“Kami memberi jaminan PBS akan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan jentera parti akan memberikan kerjasama penuh terhadap pelaksanaan program pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, kenyataannya baru-baru ini disalah tafsir dan diputar belit bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Niat sebenar saya ialah untuk menyatakan keterbukaan parti kepada pembangkang, khususnya WARISAN untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mencapai misi pembangunan yang sama demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah. Saya tidak bercakap selain daripada keterbukaan untuk bekerjasama. Lagipun, WARISAN yang terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk berkawan dan bekerjasama.

“Sebagai Presiden PBS, saya mengajak WARISAN untuk menyertai PN, sama ada sebagai rakan kongsi atau ahli dan PBS amat berbesar hati untuk menjadi hos atau penaja kepada WARISAN menjadi sebahagian daripada PN,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.