Kilang Sarung Tangan Sumbang Kes Baharu Tertinggi Di NS

47

31 MEI: Kerajaan Negeri Sembilan mengesahkan Kluster Industri Dioh yang dicetuskan sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh Kuala Pilah, menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes baharu COVID-19 di negeri tersebut. 

Exco Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata berpandukan laporan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Kluster Dioh merekodkan penambahan 122 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 131 kes.

“Setakat tengahari semalam terdapat 468 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan CPRC, menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak berkenaan sebanyak 26,052 kes.

“Kluster Dioh yang dikaitkan dengan kilang di Kuala Pilah itu menjadi penyumbang tertinggi apabila merekodkan 122 kes baharu selepas saringan dibuat ke atas 468 individu.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat 15 kes kematian berkait dengan COVID-19 yang dilaporkan semalam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Veerapan memberitahu daripada jumlah kumulatif berkenaan, 22,040 kes sembuh dan discaj, 3,911 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 101 kes meninggal dunia.

“Terdapat 5,042 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

“Secara keseluruhannya, terdapat 35 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan setakat ini,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Daerah Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap memaklumkan sebuah kilang sarung tangan di Kawasan Perindustrian Dioh Kuala Pilah diarahkan tutup selama 14 hari bermula Rabu lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD ) Kuala Pilah berkata, tindakan itu diambil susulan terdapat lapan pekerjanya yang disahkan positif COVID-19.

Kelmarin, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan perumahan Mukim Juasseh, Kuala Pilah, bermula hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.