Kes Baharu Catat Penurunan Dua Hari Berturut-Turut

16

31 MEI: Jumlah kes baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini adalah 6,824, sekali gus negara merekodkan penurunan dua hari berturut-turut.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik terbabit di Malaysia adalah sebanyak 572, 357 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 2,111 kes diikuti Kelantan (695) dan Sarawak (654).

“Ia diikuti oleh Johor (489), Kedah (464),Kuala Lumpur (387), Melaka (352), Pulau Pinang (328), Perak (255), Negeri Sembilan (253), Pahang (219), Sabah (207), Terengganu (204), dan Labuan (166).

“Hanya dua negeri mencatatkan pertambahan kes baharu dua angka hari ini iaitu Putrajaya sebanyak 28 kes manakala Perlis hanya 12 kes dicatatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, Noor Hisham memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di negara ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 1.12 semalam, berbanding 1.16 kelmarin. 

Bagaimanapun, data dikongsi beliau menunjukkan hampir semua negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.12 hingga 1.66 semalam.

“Labuan mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.66, disusuli Negeri Sembilan (1.35), Sabah (1.25), Melaka (1.24), Kelantan (1.20), Terengganu (1.18), Pahang (1.17),Putrajaya (1.16), Kedah (1.15), dan Selangor (1.14), 

“Manakala Kuala Lumpur dan Perak (1.13) disusuli Johor (1.11), Sarawak (1.08) dan Pulau Pinang (1.07) manakala Perlis hanya ada tujuh kes sahaja,” katanya. 

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes harian yang merekodkan antara 6,000 hingga 9,000 kes sejak bulan lalu. 

Trend penularan COVID-19 ketika ini masih melebihi jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan ini, khususnya jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.