Jadikan Kluster Pasai satu iktibar-Uggah

9

31 MEI: Kerajaan Negeri Sarawak menyeru komuniti Dayak di negeri ini menjadikan Kluster Pasai sebagai pengajaran untuk tidak pulang ke rumah panjang atau kampung mereka semasa perayaan Gawai tahun ini yang bakal disambut esok.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster di daerah Sibu itu yang dikategorikan kes Import B iaitu membabitkan aktiviti rentas negeri dan majlis pengebumian, muncul sebagai kluster yang menjadi penyumbang utama kes di negeri ini sehingga mencecah 2,963 kes dengan 29 kematian.

“Berikutan kes-kes ini,  saya memohon kepada komuniti Dayak, tolong jangan pulang ke rumah panjang dan kampung anda tahun ini. Bagi mereka yang berada di rumah panjang dan kampung, jangan mengadakan perhimpunan, ‘rumah terbuka’ dan ‘ngabang’. 

“Patuhi SOP (prosedur operasi standard) sambutan Gawai dengan penuh keyakinan, disiplin dan tanggungjawab,” katanya menerusi perutusan sempena sambutan Hari Gawai, hari ini. 

Dalam pada itu, Amar Douglas memberitahu, sebanyak 634 rumah panjang di seluruh Sarawak telah dikenakan perintah sekatan dengan 3,894 kes positif direkodkan setakat ini. 

“Pihak berkuasa kesihatan melihat bahawa rantaian penyebaran jangkitan itu dikesan daripada perhimpunan sosial seperti pengebumian, perkahwinan, perayaan ulang tahun, gotong-royong dan aktiviti sabung ayam.

“Perhimpunan seperti itu, yang diadakan tanpa mementingkan jarak fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri, merupakan faktor utama penyebaran Covid-19. Perjalanan merentas negeri dan daerah yang tidak terkawal adalah antara sebab utama yang lain,” katanya.

Uggah yang juga Exco Bencana Negeri Sarawak berkata, hanya 1.3 juta orang atau 54.4 peratus penduduk yang layak di Sarawak telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat ini dan beliau meminta mereka yang belum mendaftar untuk melakukannya menerusi aplikasi MySejahtera, di pejabat kesihatan atau daerah terdekat.

Menurut beliau, bagi mempermudah program pemberian vaksin, sejumlah 279 pusat vaksinasi telah disediakan dengan 23 Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) dan lima hospital swasta untuk memberikan perkhidmatan vaksinasi percuma dan pihaknya merancang untuk menambah 16 lagi GP dan dua lagi hospital swasta.

“Bagi mereka yang berada di kawasan pedalaman, kami akan menggerakkan pasukan menerusi program capaian ke rumah panjang, kampung dan penempatan lain. Semua penduduk harus memanfaatkan sepenuhnya peluang ini. 

“Walaupun perayaan Gawai tahun ini akan menjadi suram ekoran pelaksanaan SOP yang ketat, langkah-langkah berkenaan adalah perlu mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 termasuk kes yang semakin meningkat dan kemunculan varian baharu yang membimbangkan (VOC).

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di rumah panjang dan kampung harus berperanan dalam komuniti masing-masing untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap SOP.

“Tolong bantu kami untuk menyelamatkan anda dan orang tersayang,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.