Geran Khas Prihatin PKS naik ke RM1,500

73

31 MEI: Kerajaan tidak pernah lupa mengenai tanggungjawab untuk terus membantu memastikan kelangsungan golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pelbagai inisiatif, termasuk pemberian Geran Khas Prihatin (GKP), pembiayaan mikro kredit bernilai RM1.5 bilion dan RM7 bilion dana pinjaman Bank Negara Malaysia.

Berikutan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan hari ini bersetuju menaikkan kadar pemberian GKP kepada RM1,500, berbanding RM500 dijangka memanfaatkan hampir satu juta PKS dengan pembayaran akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada Jun dan Julai ini.

Beliau berkata pembiayaan mikro kredit sebanyak RM1.5 bilion juga disediakan sepanjang tahun kepada peniaga kecil, penjaja jalanan termasuk perusahaan mikro oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

“Sebanyak RM7 bilion dana pinjaman masih tersedia untuk PKS melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah perusahaan itu di bawah pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk RM2 bilion melalui penambahan fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas.

Penjana
PERUSAHAAN kecil dan sederhana akan terima bantuan sebanyak RM1,500 yang dibayar dua kali pada Jun dan Julai ini.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM68 juta bagi bantuan khas secara sekali bayar RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, pemandu teksi (40,000), pemandu bas sekolah (11,000), bas persiaran (4,000) dan pemandu kereta sewa dan e-hailing (62,000) bermula Julai ini,” katanya dalam perutusannya disiarkan secara langsung di RTM hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Tenaga Nasional juga bersetuju melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara Julai hingga September kepada sektor terjejas iaitu pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli- belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Disember ini bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.

“Selain itu, perlanjutan sehingga 31 Disember ini bagi pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan,” katanya.

Beliau berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti kepada tahun depan serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga bersetuju memperkenalkan semula perlanjutan penghantaran penyata kewangan, pelaksanaan mesyuarat tahunan bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan moratorium denda bagi penghantaran lewat dokumen berkanun.

“SSM juga akan mengecualikan bayaran lewat untuk memperbaharui lesen perniagaan sehingga 31 Disember ini bagi PKS mikro serta perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

“Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 atau Akta 829 akan ditambahbaik bagi membantu individu dan perniagaan yang terkesan.

“Perlindungan berkaitan ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontrak akan dilanjutkan tempoh kuat kuasa sehingga 31 Disember ini. Sehubungan itu, kerajaan menyediakan bantuan perkhidmatan pengantaraan atau ‘mediation’ secara percuma melalui Pusat Mediasi COVID kepada semua individu atau perniagaan tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang sepatutnya berakhir hari ini kepada 31 Disember.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.