Bekalan beras, makanan utama mencukupi sepanjang PKP penuh

24

31 MEI : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan, bekalan beras dimiliki negara ketika ini, mampu menampung keperluan penduduk sepanjang dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang dianggarkan sebanyak 100,000 tan hingga 150,000 tan.

Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kedudukan stok beras semasa pada masa ini adalah sebanyak 764,000 tan, membabitkan peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Jumlah itu, katanya, termasuk sekiranya berlaku pembelian panik orang ramai.

“Bagi memastikan bekalan dan pengeluaran beras berterusan serta tidak terganggu, MAFI akan memastikan proses penanaman dan operasi kilang padi serta beras dapat beroperasi pada kadar dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan

“Ini termasuk kebenaran pengedaran input pertanian, seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh berkenaan.
“Penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengedaran beras di peringkat pemborong dan peruncit dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan setiap pelusuk daerah dan kawasan tidak terjejas dengan bekalan makanan utama itu.

Katanya, stok semasa bekalan ikan negara pula, katanya, MAFI menganggarkan keperluan adalah sebanyak 185,000 tan sebulan ketika PKP penuh, berbanding keperluan semasa, iaitu 155,000 tan.

Jelasnya, sejumlah 89 Pasar Nelayan dan 33 Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan (CCDC) masih beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKPk penuh berkenaan.

“Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tertakluk kepada arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SOP ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Ronald berkata, berdasarkan data bekalan komoditi, bekalan daging, ayam, telur dan susu turut mencukupi bagi keperluan negara.

“Jun ini, bekalan daging lembu dan kerbau dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan, manakala bekalan daging ayam 125,067.61 tan.

“Bekalan telur ayam untuk Jun dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan bekalan susu segar 4,147,608.10 liter,” katanya.

Selain itu, Ronald berkata, bagi menjamin akses orang ramai terhadap keperluan bekalan makanan, MAFI membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara.

“PST ini terdiri daripada 24 Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet, 14 Pusat Operasi FAMA dan dua Agrobazaar, berbanding 63 lokasi ketika PKP 1.0 lalu.

“Pengurangan ini disebabkan pelaksanaan SOP diperketatkan MKN bagi menangani penularan gelombang ketiga COVID-19 yang kian meningkat,” katanya.

Ronald berkata, bagi melancarkan semua aktiviti, pemain industri dan usahawan terbabit dalam rangkaian serta rantaian sektor berkaitan dinasihatkan berhubung dengan Jabatan atau agensi di bawah MAFI untuk mendapatkan surat pengesahan.

Malah, katanya, MAFI akan terus komited untuk membantu pemain industri dan golongan petani, penternak serta nelayan dalam memastikan sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas berikutan penutupan sektor ekonomi serta sosial.

“Saya menyeru semua pengusaha agromakanan, termasuk petani, penternak dan nelayan sentiasa patuh kepada SOP ditetapkan MKN serta menjaga kesihatan diri sepanjang masa.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat pembelian panik dan ‘stock-piling’ bahan makanan secara berlebihan boleh mengakibatkan keadaan di mana terdapat ketidaksamarataan daripada segi akses bekalan makanan kepada orang ramai.

“MAFI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta kementerian lain dalam memastikan bekalan makanan negara terus berada pada tahap stabil, mencukupi serta terkawal sepanjang masa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.