Bantuan al-Quran, DAP terdesak raih undi Melayu

120

31 MEI: Tindakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyumbangkan senaskah al-Quran kepada sepasang suami isteri ‘gelandangan’ di Pulau Pinang, baru-baru ini disifatkan sebagai usaha terdesak untuk meraih undi masyarakat Melayu dan Islam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata sememangnya DAP ketika ini terlalu terdesak mendapatkan undi Melayu dan Islam, selepas tidak mempunyai sokongan besar daripada parti Melayu.

“DAP ini terlalu terdesak untuk mendapat undi Melayu Islam, seperti sebelum ini pun mereka mengharapkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), tetapi parti ini langsung  tidak boleh memenuhi apa diharapkan mereka.

“Justeru DAP kemudian beralih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan sewaktu zaman Tun Mahathir dulu, dia dapatlah sedikit daripada bahagian undi Melayu Islam.

DR MOHD ZUHDI

“Namun, apabila bekas Perdana Menteri itu tidak bersama BERSATU lagi, jadi mereka dilihat berusaha sendiri, tidak mengharapkan mana-mana parti berasaskan Melayu ini, justeru antara caranya adalah dengan apa dibuat steven sim sekarang lah,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.

Mohd Zuhdi berkata, daripada ‘menghadiahkan’ kitab suci itu kepada orang Islam, beliau mencadangkan Steven supaya membaca dan mendalaminya sendiri bagi memperoleh hidayah mendekati Islam.

“Maka saya cadangkan dia (Steven) baca sendiri al-Quran, mana tahu terbuka hati dia untuk masuk Islam.

“Kemudian dia boleh menyertai parti-parti yang berasaskan Melayu Islam, itu saya punya nasihatlah,” katanya.

Sebelum ini, Steven menerusi Facebook rasminya, berkongsi kisah beliau bertemu sepasang suami isteri berasal dari Kelantan yang berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa berteduh dan tidur di tepi jalan selama beberapa hari.

Pasangan itu yang dikatakan ingin memulakan kehidupan baharu akibat kesusahan di kampung halaman, berhijrah ke Pulau Pinang, tetapi berdepan kesukaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Steven kemudian tampil membantu pasangan muda itu dengan menempatkan mereka sementara di hotel, menyediakan rumah, membelikan pakaian baharu, membelanjakan barangan keperluan bagi tempoh dua minggu PKP, menghadiahkan telefon bimbit dan mendapatkan kerja untuk suaminya.

Bagaimanapun, tindakan Steven Sim yang menyerahkan ‘hadiah’ berbentuk al-Quran sebagai panduan hidup kepada pasangan terbabit, menimbulkan ketidakpuasan hati segelintir orang Melayu dan Islam.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata walaupun niat sebenar Steven menyerahkan al-Quran itu tidak dapat dirumuskan secara zahir, perkara terbabit menimbulkan rasa janggal masyarakat Melayu Islam.

“Orang rasa agak janggal macam mana individu bukan Islam seperti dia memberi al-Quran kepada orang Islam, sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah niat sebenar dia berbuat demikian,” katanya.

Azmi berkata, sekiranya Steven benar-benar jujur, beliau sepatutnya menerangkan secara terbuka bahawa sumbangan bantuan diberikannya kepada individu Melayu dan Islam, termasuk al-Quran itu bukan bermotifkan politik atau cuba meraih perhatian serta undi golongan penerima. 

Katanya, Steven juga diharapkan tidak menonjolkan usahanya membantu individu Melayu Islam atau seolah-olah berbuat demikian untuk ‘memancing’ mereka.

Beliau berkata, ketika ini Steven secara berterusan menunjukkan sumbangan diberikan secara meluas, seperti seolah-olah mahu menaikkan imejnya dalam membantu golongan berkenaan.

“Kali ini bila dia gunakan al-Quran itu agak mengejutkan org macam satu tamparan sebab orang akan tengok ‘dia bukan islam pun dia nak bagi al-quran’, jadi membuatkan orang memberi tafsiran bahawa dia mungkin berniat tidak baik.

“Bagi saya, sepatutnya Steven membawa sesiapa yang dia mahu tolong berjumpa pihak Islam berkepentingan untuk mendapatkan bantuan tepat dan jika dia juga mahu bantu, boleh sahaja berikan derma susulan,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pihak berkepentingan Melayu dan Islam seharusnya lebih peka mengenalpasti golongan memerlukan untuk mengelakkan berlakunya ‘kontroversi’ apabila terdapat pihak tertentu daripada bangsa serta agama lain menghulurkan bantuan.

Tegasnya, dalam konteks membantu golongan berdepan kesempitan kehidupan di negara ini, masyarakat Melayu dan Islam juga perlu mengubah cara serta pendekatan bagi memudahkan individu berkaitan mendapatkan pertolongan sewajarnya.

Nadzim berkata, apa yang menyedihkan, kadangkala masyarakat Melayu dan Islam sendiri tidak melaksanakan peranan sebaiknya, justeru tampil pihak berkepentingan tertentu berbuat demikian bagi mengambil kesempatan atau mendapatkan promosi.

“Kalau kita melihat entah dia (Steven) memang terbuka dan mahu memberi Al-Quran, kita tidak tahu, tetapi kadang masyarakat Melayu dan Islam sendiri tak buat apa juga, walaupun mereka sepatutnya melebihi apa dibuat pemimpin DAP terbabit.

“Apa berlaku di sekeliling kita kena peka, kalau tak jadi lemah lah, orang lain ambil kesempatan, contohnya pemberian derma, bila Islam tidak buat, orang bukan Islam sentiasa buat, malah kadang duit pun susah orang memerlukan ini dapat.

“Justeru, kita harus memperkasakan dan memperkemaskan masyarakat Melayu dan Islam supaya bersungguh-sungguh menjalankan peranan membantu golongan memerlukan, seperti peranan masjid, peranan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.