Bantu kami, rayu Dr Noor Hisham

15

31 MEI: Sejak COVID-19 melanda negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilihat sebagai antara individu penting dalam usaha membendung penularan jangkitan pandemik terbabit, tidak pernah ‘letih’ mendidik, menasihati dan merayu masyarakat supaya bersama-sama menjalankan tanggungjawab berkenaan.

Terkini, beliau sekali lagi merayu masyarakat supaya membantu petugas barisan hadapan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda.

“Bantulah kami untuk bantu anda dan keluarga,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Semalam, sebanyak 6999 kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini.

Pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah seramai 846 orang dengan 419 orang memerlukan bantuan alat pernafasan, manakala 79 kematian direkodkan.

Jumlah kes tertinggi direkodkan di Malaysia adalah pada 29 Mei lalu, iaitu sebanyak 9,020 kes sejak pandemik terbabit melanda negara lebih setahun lalu. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.