Varian Baharu di Vietnam Belum Masuk Malaysia – Noor Hisham

42

30 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti varian baharu COVID-19 yang direkodkan telah merebak di Vietnam. 

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah mengesahkan varian baharu yang merupakan kacukan varian India B.1.617.2 dan varian United Kingdom B.117 belum masuk dan merebak di negara ini.

Justeru, beliau berkata, selepas mengetahui mengenai varian itu, KKM mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan varian baharu itu tidak masuk dan merebak ke Malaysia yang dikhuatiri boleh membawa jangkitan yang lebih cepat dan kadar kematian dengan lebih banyak. 

“Kacukan varian India UK yang dilaporkan Vietnam juga belum dikesan di negara lain namun apa yang penting kita sudah mempertingkatkan kawalan sempadan dengan lebih baik. 

DR NOOR HISHAM

“Kita sudah mempertingkatkan kuarantin selama 14 hari kepada mereka yang baru pulang dari luar negara kecuali India, Pakistan dan Bangladesh, akan dikuarantin kepada 21 hari. 

“Ini kita lakukan bagi memastikan varian-varian baharu tidak masuk ke negara kita dan merebak ke dalam komuniti. Kita risau kerana kemungkinan virus ini akan membawa kematian dengan lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan unjuran kes COVID-19 hasil pelaksanaan fasa pertama Sekatan Pergerakan Penuh, mulai Selasa depan, hanya akan diperoleh selepas tujuh hari ia dikuatkuasakan.

“Kita memerlukan data harian purata tujuh hari terbabit, iaitu dari 1 hingga 7 Jun ini, bagi mendapatkan unjuran berkenaan. Bagaimanapun jika mengikut unjuran yang lalu, kita menjangka catat 13,000 kes pada 14 Jun depan.

“Disebabkan unjuran ini, kita terpaksa melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bagi memastikan tiada pergerakan dan perhimpunan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan PKP 3.0 yang akan bermula Selasa ini akan memberi hospital dan ruang masa kepada petugas kesihatan di samping orang ramai dapat membantu prestasi kesihatan awam negara dengan mengamalkan Kawalan kendiri. 

Beliau turut mengharapkan agar wakil rakyat di negara ini dapat bekerjasama dengan KKM dalam melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara bersasar di lapangan atau kawasan mereka berkhidmat. 

“Kita juga perlu meningkatkan tahap vaksinasi kepada orang ramai dan dimaklumkan Jun ini sahaja, lebih 10juta dos boleh diguna pakai untuk meningkatkan kadar vaksinasi di negara kita. 

“Kalau dapat tingkatkan vaksinasi ia akan memberi perlindungan dalaman dan dengan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti duduk di rumah serta amalkan strategi penjagaan awam, Insya-Allah, kita boleh landai kan lekuk COVID-19 dalam masa tiga ke empat bulan akan datang,” katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.