Tiada Kompromi Buat Sesiapa Hina Agong- Hamzah

129

30 MEI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan institusi diraja.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya memandang serius terhadap perkara ini dan sikap tidak patriotik serta tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

“Berikutan itu, pemilik akaun FB Iswardy Morni yang dipercayai mengeluarkan kenyataan yang mempersenda serta menghina Yang DiPertuan Agong telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui peruntukan Seksyen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.

“Selain siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM juga sedang menyiasat individu tersebut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,’ katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Justeru, Hamzah mengarahkan pihak polis untuk terus memantau segala kegiatan menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja di negara ini.

“KDN meminta pihak PDRM untuk memantau serta mengambil tindakan yang lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini. 

“Ini demi memastikan Institusi Diraja, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara,” katanya. 

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni direman dua hari berhubung dakwaan berbaur hasutan dan menghina Seri Paduka Baginda. 

Menurut beliau, Iswardy diberkas di rumahnya di Kajang dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

“Suspek berusia 45 tahun ditahan di rumahnya di Kajang pada 11 malam susulan laporan polis yang diterima.

“Setakat ini, pihak polis telah menerima sebanyak 18 laporan berkaitan video tersebut,” ujarnya menerusi kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Iswardy dikesan polis ekoran satu video yang didakwa menghina YDPA yang mendapat kecaman ramai kerana dianggap biadap terhadap Al-Sultan Abdullah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.