Speaker Dewan Rakyat bidas pihak mahu Parlimen bersidang

222

30 MEI: Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun membidas pandangan pihak tertentu bahawa kerajaan tidak berhak menghentikan persidangan Parlimen sepanjang darurat ini.

Katanya, perkara tersebut mesti dibahaskan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Dakwaan kononnya kerajaan tersilap dalam isu penangguhan Parlimen, ia adalah biasa bagi ketiga-tiga institusi pentadbiran untuk campur tangan antara satu sama lain.

“Contohnya, Parlimen yang mengesahkan undang-undang yang menyatakan sesiapa yang memiliki sejumlah dadah terlarang akan dianggap sebagai pengedar.

“Peruntukan ini melenyapkan kuasa Mahkamah untuk menentukan sama ada dia sebenarnya atau dalam undang-undang memang pengedar atau bukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

azhar
AZHAR

Beliau mengulas gesaan ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk timbalannya sendiri, Azalina Othman supaya Parlimen bersidang semula.

Azhar yang merupakan seorang peguam menambah ramai pengkritik darurat bersikap pilih bulu dalam mempertahankan Perlembagaan demi mendapatkan keuntungan politik.

“Kita tidak boleh bersikap memilih dengan hanya menerima apa sahaja yang menguntungkan kita namun bersikap keras apabila sesuatu tindakan tersebut tidak memenuhi kepentingan dan hasrat kita,” tegasnya.

Menurutnya, walaupun doktrin pemisahan kuasa antara tiga institusi iaitu Kerajaan, Parlimen dan Badan Kehakiman tidak pernah dilaksanakan secara bulat-bulat di mana-mana negara, namun prinsip undang-undang itu mesti dilaksanakan.

Disebabkan itu, katanya, mahkamah tidak melayan pertanyaan mengenai keabsahan persidangan Dewan Rakyat.

“Dengan kata lain, dalam situasi ini, Mahkamah tidak memiliki sumber undang-undang untuk melakukannya.

“Sekiranya Mahkamah mempunyai pendirian bertentangan dengan penetapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seraya memutuskan perihal keabsahan sebarang persidangan Dewan Rakyat, ia dianggap melanggar undang-undang.

“Hal ini kerana, Mahkamah tidak mempunyai sumber undang-undang untuk melakukannya,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.