Pemuda UMNO gesa PKR pecat segera Iswardy

39

30 MEI: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa PKR untuk memecat keanggotaan Iswardy Morni sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dan serius untuk menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan biadab anggotanya yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sekali gus membuktikan parti tersebut masih menjunjung tinggi kesetiaan parti kepada tonggak Institusi Raja di negara ini. 

“Kenyataan anggota PKR bernama Iswardy Morni, yang kini disiasat kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dipandang enteng.

“Sebagaimana yang diperakui sendiri oleh Pengarah Komunikasi PKR, Yang Berhormat Fahmi Fadzil, tindakan menghina seperti ini bukan kali pertama. 

ISWARDY didakwa memuat naik video di YouTube yang menghina Agong.

“Bahkan Biro Politik hanya sekadar beri amaran sahaja kepada Iswardy sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan walaupun Pengarah Komunikasi cuba menjarakkan PKR daripada kenyataan menghina tersebut, perbuatan yang berulang kali seperti ini mesti diambil tindakan tegas.

“Kerajaan juga harus segera mendakwa dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan menghina Institusi Raja seperti ini agar menjadi pengajaran buat semua,” katanya. 

Terdahulu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar mengesahkan Pengerusi Pro Keadilan Sarawak itu kini dalam tahanan polis susulan kenyatannya berbaur fitnah di dalam video secara langsung di laman YouTube rasmi miliknya semalam.

Menurut beliau, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

PKR sementara itu menegaskan kenyataan ahlinya itu tidak mencerminkan pendirian parti berkenaan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.