Johor tangguh urusan majlis akad nikah

7

30 MEI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menangguhkan urusan majlis akad nikah dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 1 Jun hingga 14 Jun depan.

Pengarahnya, Datuk Md Rofiki Shamsuddin, berkata selain akad nikah, turut ditangguhkan majlis resepsi atau walimatul urus dan kursus praperkahwinan Islam secara bersemuka.

Katanya, perkhidmatan kaunter yang membabitkan permohonan kebenaran berkahwin sama ada dalam bidang kuasa atau luar bidang kuasa, pendaftaran cerai, pendaftaran rujuk, permohonan pendaftaran pengesahan perkahwinan, poligami, pengambilan dokumen serta kad perakuan nikah, turut ditangguhkan.

“Bagi masyarakat awam yang dijadualkan melalui janji temu untuk melaksanakan urusan nikah, cerai dan rujuk di pejabat kadi daerah, penjadualan semula urusan berkenaan akan dilaksanakan oleh pejabat kadi berkaitan.

“Pemakluman perubahan tarikh ini akan diselaraskan oleh kadi daerah.

“Oleh itu, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga dalam tempoh ini dinasihatkan supaya bersabar dan memperbanyakkan ibadah berpuasa serta berzikir kepada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) http://www.sppim.gov.my, ia masih dilaksanakan.

Katanya, permohonan Kebenaran Nikah (Benar Nikah Online), kursus praperkahwinan Islam secara sidang video dan Pendaftaran Kursus (Pra Perkahwinan Online) boleh dibuat melalui sistem SPPIM.

“Aduan dan pertanyaan mengenai proses kebenaran berkahwin secara dalam talian melalui sistem SPPIM ([email protected]) atau menghantar pesanan ke Facebook Jabatan Agama Islam Negeri Johor atau Facebook Pejabat-Pejabat Kadi Daerah.

“Perkhidmatan Khidmat Nasihat secara dalam talian (Rundingcara Online) juga masih dilaksanakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.