Isu Kewarganegaraan Anak Tak Sah Ke Kabinet

33

30 MEI: Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) akan membangkitkan kes berhubung kewarganegaraan seorang anak tidak sah taraf yang gagal dalam kesnya di mahkamah kepada menteri bertanggungjawab atau menerusi Kabinet.

Pengasasnya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mengambil maklum keputusan majoriti panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu bahawa seorang anak tidak sah taraf tidak layak mendapat kerakyatan walaupun bapanya warganegara Malaysia.

Menurut beliau, tindakan ini akan diambil pihaknya bagi memastikan kanak-kanak tersebut mendapat status kewarganegaraan secara pendaftaran mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun kami menghormati keputusan yang dibuat badan kehakiman dalam melaksanakan tugas perlembagaan mereka, saya perlu menyatakan tidak setuju dalam kes ini.

“Kes ini yang mengesahkan lagi kes berkaitan status kerakyatan anak tidak sah taraf yang telah pun diputuskan sebelum ini, sangat bertentangan dengan semangat keadilan dan belas ihsan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar tidak sah taraf.

“Sudah tiba masa untuk kita tamatkan kerosakan yang ditimpa kepada orang yang tidak bersalah ekoran peruntukan yang sudah ketinggalan zaman, iaitu Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan yang digunakan untuk penghakiman majoriti dalam kes ini. 

“Saya komited ke arah pemansuhan atau pindaan perkara itu dan akan membangkitkannya kepada kerajaan,” katanya. 

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu dengan keputusan majoriti 4-3, menolak rayuan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang bapanya warganegara Malaysia dan ibunya rakyat Filipina, bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Keputusan majoriti itu memutuskan Seksyen 17 Bahagian III Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah adalah mengikut kewarganegaraan ibunya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.