Arab Saudi benar kemasukan pelancong dari 11 negara

20

30 MEI: Bermula hari ini pelancong dari 11 negara dibenarkan memasuki Arab Saudi.

Memetik laporan Saudi Press Agency (SPA), sumber rasmi Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu berdasarkan laporan pihak berkuasa kesihatan awam berhubung situasi epidemiologi di negara terbabit yang menunjukkan kestabilan dan keberkesanan dalam mengawal pandemik.

Negara itu merangkumi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Amerika Syarikat (AS), Ireland, Itali, Portugal, United Kingdom (UK), Sweden, Switzerland, Perancis dan Jepun, dengan syarat mematuhi prosedur kuarantin ditetapkan sebaik tiba di negara itu.

Pada Februari lalu, pihak berkuasa menyekat kemasukan pelancong dari negara tersebut kecuali warga negara Arab Saudi, diplomat, profesional kesihatan dan ahli keluarga yang kembali dari negara berkenaan.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menyatakan semua pengembara tanpa vaksin yang berasal dari negara yang tidak disekat kemasukan ke negara itu perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada langkah menghentikan penyebaran COVID-19.

Kementerian juga menetapkan wajib bagi semua pengembara yang tidak menerima vaksin untuk menjalani kuarantin tujuh hari dan mempunyai insurans kesihatan bagi melindungi risiko jangkitan.

Kuarantin perlu dijalankan di institusi yang ditetapkan di bawah pengawasan pihak berkuasa kesihatan bukannya kuarantin di rumah.

Pelancong yang tidak diberi vaksin juga mesti menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk COVID-19 pada hari pertama dan ketujuh ketibaan mereka di negara itu.

Sebelum ini, Arab Saudi menarik balik larangan ke luar negara kepada warganya pada 17 Mei lalu.

Bagaimanapun larangan itu kekal kepada 13 negara sebagai langkah keselamatan menyekat penularan jangkitan COVID-19.

Negara yang masih tidak dibenarkan untuk dikunjungi adalah Afghanistan, Armenia, Belarus, Republik Demokratik Congo, India, Iran, Lubnan, Libya, Somalia, Syria, Turki, Venezuela dan Yaman.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) turut mengeluarkan surat pekeliling kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang kerajaan mengenai pembukaan semula kebenaran perjalanan bagi pengembara dari 11 negara itu.

Keputusan itu mengambil kira kestabilan keadaan epidemiologi dan keberkesanan mengawal wabak di negara berkenaan.

GACA juga meminta pengembara untuk mematuhi dan menepati prosedur operasi standard mengenai kuarantin dan pembaharuan mekanisme kemasukan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.