360 Klinik Swasta sudah didaftarkan sebagai PPV

68

29 MEI: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengesahkan sebanyak 360 klinik swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sudah didaftarkan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Annuar dalam ciapannya menerusi akaun Twitternya berkata daripada jumlah itu 273 klinik swasta sudah menerima surat tawaran (LOA) masing-masing, manakala selebihnya dalam proses.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiap 40 truck sebagai PPV bergerak bagi membantu usaha kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin secara besar-besaran di Wilayah Persekutuan.

“360 klinik swasta dalam Wilayah Persekutuan sudah mendaftar utk di jadikan PPC termasuk 273 darinya sudah menerima LOA. 40 mobile trucks sedang dipersiapkan.

“Wilayah Persekutuan akan “all out” menyegerakan vaksinasi. Sasaran untuk capai 3 kali ganda kadar sekarang. Semoga Allah permudahkan,” katanya dalam ciapannya menerusi Twitter di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan jumlah kes positif harian Covid-19 mencecah 9,020 kes dengan 98 dilagi dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan 9,020 kes baharu berkenaan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini menjadi 558,534 kes termasuk 479,666 kes sudah pulih, manakala 76,218 kes masih aktif.

Dr Noor Hisham berkata Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi, dengan 2,836 kes, diikuti Kelantan (907), Negeri Sembilan (898), Kuala Lumpur (789), Sarawak (726), Johor (468), Kedah (468), Pulau Pinang (345), Melaka (340), Perak (272), Sabah (265), Labuan (253), Pahang (216), Terengganu (189), Putrajaya (29) dan Perlis (19).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.