Rakyat Sarawak dirayu tidak pulang ke kampung rai Gawai

25

29 MEI: “Larangan kerajaan tidak membenarkan sesuatu aktiviti dan keputusannya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP), bukan suka-suka, sebaliknya berpandukan fakta serta penilaian risiko dibuat semua pihak berkepentingan, termasuk pakar kesihatan,” tegas Alexander Nanta Linggi.

Justeru, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menasihatkan rakyat Sarawak supaya mematuhi sepenuhnya SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kini dengan tidak pulang ke kampung menyambut Hari Gawai.

Katanya, pengorbanan itu mampu melindungi diri, keluarga dan orang tersayang daripada dijangkiti COVID-19, sekali gus membendung penularannya

“Seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sambutan Aidilfitri, baru-baru ini menyumbang kepada peningkatan kes mendadak dengan 24 kluster sambutan perayaan itu dikenalpasti akibat daripada aktiviti rentas daerah dan negeri.

“Keadaan ini berlaku disebabkan sikap kurang bertanggungjawab sesetengah individu yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman untuk menyambut berhari raya bersama keluarga. 

“Ketika memikirkan keseronokan bersama keluarga, mereka melupakan tindakan itu membahayakan ibu bapa dan keluarga di kampung kerana berisiko membawa bersama virus COVID-19, seterusnya menjadi pencetus kluster baharu,” katanya menerusi kenyataan dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Alexander berkata, situasi seperti itulah yang dibimbangkan akan terus terjadi, sekiranya rakyat Sarawak masih berdegil untuk pulang ke kampung menyambut Hari Gawai pula.

Lebih-lebih lagi, katanya, Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu COVID-19 yang tinggi sehingga melebihi 8,000 kes, tetapi juga terpaksa berperang dengan varian baharu lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian semakin tinggi.

Beliau berkata, situasi getir ketika ini memerlukan kerjasama dan pengorbanan semua pihak bagi menjayakan SOP ditetapkan, sekali gus menamatkan pandemik terbabit di Malaysia.

“Dengan bilangan kes dan kadar jangkitan ketika ini, sanggupkah kita membayangkan menjadi punca ahli keluarga, terutama ibu bapa, adik beradik serta orang sekeliling dijangkiti COVID-19 hanya disebabkan kedegilan kita pulang ke kampung,” katanya.

Selain itu, Alexander berkata, beliau mengambil maklum tindakan orang awam didakwa ingkar dan pulang ke kampung halaman di Kapit, Sarawak menggunakan bot ekspres yang menyebabkan kesesakan di jeti Kapit, seperti tular baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai Ahli Parlimen Kapit, beliau pastinya bimbang dengan situasi itu, terutama apabila daerah berkenaan yang sebelum ini diletakkan sebagai zon hijau, kini merekodkan angka jangkitan COVID-19 sebanyak 4,257 kes.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pelbagai usaha sudah dan sedang dijalankan kerajaan Sarawak dan Pusat bagi mengekang penularan pandemik terbabit, namun semua inisiatif berkenaan tidak akan memberi kesan, sekiranya rakyat tidak bersama-sama mengamalkan kawalan kendiri ketat, selain mematuhi SOP ditetapkan sebaik mungkin.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, beliau memahami betapa pentingnya tradisi berkumpul bersama ahli keluarga di musim-musim perayaan ini, termasuk Hari Gawai, tetapi semua rakyat Sarawak, terutama penduduk Kapit dirayu mematuhi segala arahan ditetapkan kerajaan.

“Tidak pulang ke kampung bermakna kita cuba melindungi nyawa keluarga tersayang dan orang di sekeliling kita,” katanya.

Menerusi kenyataan sama, Alexander berkata, sebagai Ahli Parlimen Kapit juga, beliau mengambil tanggungjawab untuk melindungi penduduk di kawasan berkenaan, justeru perbincangan akan dijalankan dengan kerajaan Sarawak bagi mengenalpasti tindakan sewajarnya boleh diambil, berhubung perkhidmatan bot ekspres ke Kapit.

“Malah, saya menyokong sebarang usaha mengawal frekuensi perjalanan bot ke Kapit menjelang sambutan Hari Gawai, selain meminta pihak berkuasa, termasuk polis menggandakan operasi pematuhan SOP di terminal bot dan di dalam bot.

“Saya bersetuju dan menyokong sepenuhnya gesaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing untuk menghentikan perkhidmatan bot ekspres buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan orang ramai di Bahagian Kapit.

“Dalam pada itu, saya menyeru masyarakat, terutama penduduk berasal dari Kapit untuk bersama-sama memainkan peranan masing-masing mematuhi SOP ditetapkan kerajaan demi melindungi diri, keluarga dan orang tersayang daripada dijangkiti COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.