Hampir 2.8 juta individu sudah terima vaksin COVID-19

9

29 MEI: Seramai 2,786,152 individu sudah menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), setakat semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan jumlah itu membabitkan seramai 1,771,810 penerima dos pertama dan 1,014,342 penerima bagi dos kedua.

Menerusi Twitter JKJAV, Kuala Lumpur direkodkan sebagai negeri tertinggi menerima vaksin dos pertama, iaitu 292,563 dan seramai 94,397 bagi dos kedua, diikuti Selangor (244,631 dos pertama dan 138,063 dos kedua) serta Sarawak (179,903 dos pertama dan 96,450 dos kedua).

Perak mencatatkan 146,322 dos pertama dan 90,882 dos kedua, disusuli Johor (153,835 dos pertama dan 88,240 dos kedua), Sabah (130,635 dos pertama dan 81,501 dos kedua), Kedah (105,719 dos pertama dan 64,004 dos kedua) serta Pahang (99,966 dos pertama dan 72,572 dos kedua).

Manakala Pulau Pinang (87,370 dos pertama dan 71,166 dos kedua), Kelantan (81,484 dos pertama dan 48,518 dos kedua), Negeri Sembilan (72,262 dos pertama dan 50,817 dos kedua), Terengganu (69,400 dos pertama dan 42,817 dos kedua) serta Melaka (44,974 dos pertama dan 34,487 dos kedua).

Perlis pula merekodkan 28,012 dos pertama dan 18,930 dos kedua, Putrajaya (20,964 dos pertama dan 10,835 dos kedua) serta Labuan (13,770 dos pertama dan 10,663 dos kedua).

Jumlah pendaftaran PICK sehingga kini adalah seramai 11,788,915 bersamaan 48.6 peratus dengan Selangor kekal merekodkan angka tertinggi, iaitu sebanyak 3,159,392.

Mengikut perancangan, tempoh pelaksanaan Fasa 1 PICK bermula Februari hingga April lalu, membabitkan lebih 500,000 petugas hadapan, termasuk kakitangan kesihatan.

PICK kemudian diteruskan bagi Fasa 2 bermula April hingga Ogos ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiliti serta orang kurang upaya.

Fasa 3 pula yang bermula bulan ini sehingga Februari 2022 adalah bagi kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 14 juta orang. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.