EAIC tubuh Jawatankuasa Kajian Kematian Dalam Tahanan

16

29 MEI: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), menubuhkan Jawatankuasa Kajian Kematian dalam Tahanan, bagi melaksanakan kajian dan mengenalpasti punca kematian tahanan.

Jawatankuasa ditubuhkan pada 1 Mei lalu dan dipengerusi Timbalan Pengerusi EAIC, Tan Sri Datuk Zainun Ali, juga menentukan dan menetapkan terma rujukan (TOR) bagi tindakan melaksanakan kajian ini.

“Kajian ini membabitkan antara lain pengumpulan data dan statistik kes kematian dalam tahanan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC.

“Ini termasuk mengenal pasti punca kematian dalam tahanan, kajian perbandingan undang-undang, peraturan lokap negara-negara lain dan kajian lapangan terhadap lokap terpilih di seluruh negara dengan penumpuan akan diberikan kepada lokap pernah berlakunya kes kematian dalam tahanan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil kajian terbabit akan diangkat kepada kerajaan bagi pengesyoran penambahbaikan prosedur pengendalian tahanan dalam lokap agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC agar dapat menangani isu berkaitan sewajarnya.

“EAIC ingin menegaskan setiap siasatan berhubung kematian dalam tahanan dijalankan pihak EAIC adalah bebas dan telus berdasarkan kuasa penyiasatan yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700.

“Malah, merujuk kepada artikel berita bertajuk ‘What’s EAIC doing about 3 custodial deaths, asks DAP MP’ dilaporkan sebuah portal tempatan bertarikh 28 Mei 2021, EAIC memandang serius terhadap kes kematian dalam tahanan terbabit, termasuk ketiga-tiga kes dinyatakan dalam artikel terbabit,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.