284 lokasi seluruh negara disanitasi dalam tempoh 48 jam

22

29 MEI: Sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi besar-besaran dalam tempoh 48 jam bermula hari ini, susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di Malaysia, sehingga menyaksikan negara merekodkan lebih 8,000 kes buat pertama kali, semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata operasi itu adalah usaha dilaksanakan kementeriannya melalui kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut memfokuskan sanitasi di Selangor yang mencatatkan kes tertinggi pandemik terbabit.

“Tindakan lebih agresif harus diambil melalui operasi sanitasi awam ini, termasuk kawasan perumahan, pasar dan sebagainya.

“Memandangkan Selangor menjadi tempat punca ekonomi negara kita, ini satu usaha yang kita harapkan dapat memberi kesan mengurangkan penularan COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi sanitasi JBPM di satu daripada lokaliti zon merah di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, bermula Mac tahun lalu sehingga hari ini, sebanyak 25,252 operasi sanitasi dilaksanakan, merangkumi 156 zon, iaitu 120 zon merah, 14 zon jingga, 15 zon kuning dan tujuh zon hijau mengikut pengkelasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Zuraida berkata, sejak COVID-19 melanda negara sehingga semalam, seramai 2,702 pegawai bomba menjalani ujian saringan dengan 16 pegawai disahkan positif, manakala 96 pegawai dikategorikan pesakit dalam siasatan (PUI), 89 pegawai di bawah pesakit dalam pengawasan (PUS) dan seorang pegawai meninggal dunia akibat pandemik terbabit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.