‘Total lockdown’ selama 14 hari mulai 1 Jun ini-PMO

118

28 MEI: Kerajaan hari ini mengumumkan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Pejabat Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyyiddin Yassin, petang tadi.

Menurut kenyataan  itu sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh MKN.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini.

“Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Katanya, jika lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Menurut kenyataan itu Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

“Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

“Bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

“Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk
merawat pesakit COVID-19. Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada
KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di
seluruh negara,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat. Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah atau Stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.