‘Total lockdown’ Dilaksana Demi Keselamatan Rakyat 

26

28 MEI : Hantaran Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi Facebook miliknya berhubung cadangan baharu untuk mengatasi peningkatan kes COVID-19 menimbulkan pertanyaan kepada warga maya. 

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik sebentar tadi, beliau mengharapkan agar semua pihak mendoakan cadangan itu menjadi kenyataan.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, pihaknya mengambil maklum bilangan kes yang semakin meningkat mendadak pada hari ini.

“Langkah yang perlu diambil dalam situasi begini bukanlah jalan paling mudah, tapi jalan yang terbaik untuk keselamatan kita bersama.

“Saya dah bawa cadangan ini ke atas, doakan semoga ada sinar untuk semua. #PakLongMailMendengar,” katanya, hari ini. 

Walau bagaimanapun, menerusi hantaran tersebut, Ismail Sabri tidak menyatakan secara terperinci mengenai cadangan tersebut.

Namun, berdasarkan pemerhatian, kenyataan daripada Naib Presiden UMNO ini seolah-olah memberi bayaran bahawa PKP penuh seperti PKP 1.0 bakal dilaksanakan Kerajaan. 

Ini kerana jika menerjah di ruangan komen netizen memohon kepada Ismail Sabri agar kerajaan melaksanakan PKP penuh kerana bimbang kes COVID-19 semakin meningkat mendadak. 

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi kenyataan memaklumkan kerajaan hari ini mengumumkan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

PMO memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyyiddin Yassin, petang tadi.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh MKN.

PMO turut memaklumkan jika lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan sebanyak 8,290 kes positif direkodkan dan pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 549,514.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.