Tidak patuh arahan, majikan boleh diambil tindakan

14

29 MEI: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akui sukar untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang enggan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah (BdR) seperti diarah kerajaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata ini kerana KSM tidak mempunyai punca kuasa untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah biarpun kerajaan sudah mengeluarkan arahan supaya hanya membenarkan hanya 60 peratus pekerja berada di premis berkenaan pada satu-satu masa.

“Biarpun KSM menerima banyak aduan namun kita tidak mempunyai sebarang undang-undang atau akta yang memberi kuasa kepada kementerian untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan terbabit kerana Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun, selepas perbincangan di peringkat jawatankuasa teknikal memutuskan bahawa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia (di KSM) boleh mengambil tindakan kepada majikan terbabit mengguna pakai Akta 342 dengan syarat ada penurunan kuasa daripada KKM.

“Berikutan itu perkara berkenaan akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan dan diluluskan petang ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan terkejut ke sebuah kilang pembuatan alat ganti kenderaan di Serdang, pagi ini.

Apabila diluluskan kelak mana-mana syarikat atau industri yang melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000, manakala bagi individu RM10,000 bagi setiap kesalahan.

Dalam pada itu, Saravanan merayu majikan dan pihak industri supaya membenar pekerja mereka melaksanakan BdR kerana kadar jangkitan kes COVID-19 dalam komuniti dan tempat kerja kini mencapai tahap membimbangkan.

Justeru, Saravanan berkata beliau akan mengadakan perbincangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi membolehkan kerajaan mengumumkan satu pendekatan supaya suntikan vaksinasi COVID-19 lebih awal kepada pekerja tempatan dan asing mereka sekali gus mengelakkan tercetus kluster tempat kerja baharu.

“Saya juga berharap majikan dan individu yang menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI) supaya tampil membuat laporan kepada JTK atau Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) secepat mungkin bagi memboleh kerajaan turut memberikan vaksinasi kepada golongan terbabit.

“Jika mereka gagal berbuat demikian kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta 342, Akta Imigresen dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saravanan juga sekali lagi menolak dakwaan sebuah kesatuan sekerja kononnya kerajaan sudah memansuhkan penguatkuasa Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019 kerana beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian, selain memerlukan kelulusan Kabinet.

Malah, Saravanan berkata hasil penguatkuasaan sejak hampir setahun lalu kira-kira 38 peratus daripada majikan di Malaysia sudah mematuhi peruntukan Akta 446 dan selebihnya sedang dalam proses berbuat demikian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.