Sebarang Cadangan Bangunkan LTSAAS Perlu Rujuk MAHB

16

28 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan jaminan bahawa sebarang cadangan pembangunan berhubung Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) 

Dalam kenyataannya hari ini, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Muhyiddin memberikan jaminan itu selepas diberikan taklimat oleh Malaysia Airport berhubung kedudukan terkini LTSAAS serta perancangan yang telah tersedia di bawah pelan perancangan “Subang Airport Regeneration”.

Beliau berkata, Malaysia Airport masih belum menerima sebarang cadangan untuk membangunkan semula LTSAAS baik daripada kerajaan mahupun syarikat swasta meskipun terdapat banyak laporan mengenainya.

“Mesyuarat ahli lembaga pengarah hari ini mengambil maklum tentang berita yang tersebar di luar tentang cadangan pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta.

“Meskipun tiada kertas cadangan yang telah diterima oleh Malaysia Airports secara rasmi samada daripada pihak kerajaan mahupun swasta,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, WCT Holding, yang dikuasai taikun hartanah, Desmond Lim, mengemukakan kepada kerajaan kertas cadangan untuk mengambil alih Lapangan LTSAAS dan kawasan sekitar untuk pembangunan komersial, termasuk pusat beli-belah, pejabat, dan tempat pameran.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan pembangunan semula LTSAAS masih di peringkat awal dan sebarang pertimbangan serta keputusan akhir akan dibuat Kabinet.

Dalam pada itu, Zambry memaklumkan, Perdana Menteri mengambil maklum tentang peranan MAHB dalam sektor penerbangan dan industri berkaitan. 

“Lantaran itu, kami menaruh keyakinan dengan komitmen Perdana Menteri dalam memastikan LTSAAS Subang kekal sebagai aset strategik dan keselamatan negara.

“Malaysia Airport berkeyakinan bahawa cadangan dan pandangan yang dikemukakan bagi mengekalkan LTSAAS Subang sebagai sebuah pusat penerbangan dan aeroangkasa akan dikekalkan selaras dengan pelan perancangan “Subang Airport Regeneration” yang telah dirangkakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.