Sarawak Peruntuk RM1.4 bilion bantu rakyat terkesan PKP

23

28 MEI: Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan bantuan bernilai RM1.4 bilion bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 bagi membantu rakyat Sarawak yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri berkenaan, mulai semalam.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pemberian pakej BKSS berkenaan dalam sidang media secara hibrid (maya dan bersemuka) di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, Sarawak, sebentar tadi.

“BKSS yang saya umumkan hari ini merangkumi 15 inisiatif termasuk sembilan bantuan bayaran sekali gus yang diputuskan kerajaan negeri bagi memberi bantuan kewangan kepada rakyat Sarawak yang terjejas akibat pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Pakej bantuan ini juga meliputi bayaran elaun bulanan kepada petugas barisan hadapan, sektor terjejas, peniaga kecil dan golongan B40 selain enam jenis diskaun,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung menerusi Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata sebelum ini Sarawak sudah melancarkan lima pakej BKSS yang menelan peruntukan berjumlah kira-kira RM3.1 billion.

Berikutan itu Abang Johari berkata kerajaan negeri berjanji akan setiap ketua keluarga B40 akan menerima RM250 sebulan bagi tempoh enam bulan bermula 31 Julai hingga 31 Disember, dengan golongan bujang dalam kategori itu yang berumur 21 tahun ke atas menerima RM500 secara one-off mulai 31 Ogos.

Beliau berkata, seramai satu juta rakyat Sarawak akan mendapat manfaat daripada bantuan itu yang akan menelan belanja sebanyak RM970 juta.

“Kerajaan negeri juga akan memperuntukan lebih RM27 juta sebagai elaun bulanan khas bagi petugas barisan hadapan di Sarawak untuk tempoh enam bulan akan datang

“Petugas kesihatan, yang merangkumi doktor perubatan, jururawat dan kakitangan perubatan di hospital, klinik dan pusat kuarantin di seluruh Sarawak, akan menerima RM300.

“Anggota polis, tentera, pegawai imigresen, pegawai kastam, pegawai bomba dan penyelamat, Rela, kakitangan di bilik operasi negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menerima RM200,” katanya.

Dalam pada itu Abang Johari juga mengumumkan bantuan sekali gus RM1,500 kepada semua petugas barisan hadapan media sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka membantu kerajaan melandaikan lekuk penularan pandemik Covid-19 di Sarawak.

“Petugas media pula akan menerima bayaran sekaligus sebanyak RM1,500, dengan RM900,000 dijangka diperuntukkan untuk tujuan itu.

Penjaja dan peniaga kecil akan menerima RM1,500 yang akan dibayar dalam dua peringkat; RM750 pada bulan Julai dan RM750 pada bulan Disember,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM97.5 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Bantuan tunai satu kali sebanyak RM500 akan diberikan kepada pemilik dan pengendali lombong berdaftar di Sarawak, yang akan memberi manfaat kepada 200 pemilik dan pengusaha lombong dan akan melibatkan pembayaran sebanyak RM100,000.

Katanya, pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang didaftarkan di Sarawak masing-masing akan menerima RM600. Inisiatif ini dirancang untuk memberi manfaat kepada 960 pengendali van penumpang, 1,980 pemandu teksi dan 740 pengendali bas sekolah dan van yang berdaftar di Sarawak. Sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukkan untuk tujuan itu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.