Rakyat perlu sedia berdepan 10,000 kes sehari

60

28 MEI: Rakyat di negara ini perlu bersedia berdepan kes harian COVID-19 mencecah 10,000 menjelang Jun seperti diunjurkan Kementerian Kesihatan (KKM), apabila kes baharu pandemik itu terus meningkat, hari ini dengan sebanyak 8,290 kes direkodkan.

Jumlah itu juga menyaksikan kes melebihi 8,000 buat pertama kali sejak COVID-19 melanda negara lebih setahun lalu.

Rekod baharu itu turut menunjukkan peningkatan kes melebih angka 7,000 buat empat hari berturut-turut.

CARTA menunjukkan jumlah kes harian tertinggi COVID-19 tahun 2021 di negara ini.

Bagaimanapun, Selangor mula menunjukkan penurunan kes COVID-19 dengan 2,052 kes baharu hari ini, berbanding 2,675 kes semalam, sejak lebih sebulan menjadi negeri paling tinggi merekodkan angka pandemik terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun kes harian di Selangor menurun, pertambahan kes baharu di hampir semua negeri direkodkan.

“Negeri mencatatkan peningkatan kes hari ini ialah Kelantan dengan 851 kes, berbanding 754 kes semalam, diikuti Kuala Lumpur 830 kes (561), Johor 762 kes (549), Kedah 544 kes (441), Negeri Sembilan 520 kes (353) dan Perak 405 kes (228).

“Pulau Pinang pula, 421 kes (365), Melaka 380 kes (234), Sabah 308 kes (217), Pahang 254 kes (238), Putrajaya 44 kes (12) dan Perlis 8 kes (6).

“Hanya tiga negeri mencatatkan penurunan kes, iaitu Sarawak 698 kes, berbanding 772 semalam, Terengganu 207 kes (282), manakala Labuan menunjukkan pengurangan paling ketara apabila cuma merekodkan 6 kes baharu (170),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 541,224 kes. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.