Operasi LRT Laluan Kelana Jaya Pulih – Ka Siong

29

28 MEI: Kementerian Pengangkutan mengesahkan Operasi tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya dan telah mula beroperasi seperti biasa bermula jam 3.45 petang tadi. 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ia susulan kerja-kerja pemulihan dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan pemulihan Rapid Rail Sdn. Bhd sejak hari kejadian telah diselesaikan.

Menurut beliau, kebenaran beroperasi itu selepas pemeriksaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pagi tadi yang memberi kelulusan untuk semua 58 tren dioptimumkan sepenuhnya.

“Pasukan Pemulihan Rapid Rail membabitkan 367 kakitangan bekerja tanpa rehat dengan memastikan landasan tren terbabit dibersihkan dan dibaiki, selepas kejadian dua tren terbabit kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru, Isnin lalu.

“Proses itu selesai pagi semalam dan selepas itu, APAD datang buat pemeriksaan pagi tadi serta memberi lampu hijau operasi tren LRT boleh berjalan seperti biasa seperti sebelum ini.

“Isu kelewatan dan kekerapan tren bergantung kepada situasi semasa kerana semua perlu maklum, kapasiti penumpang dalam tren mesti 50 peratus selaras prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan,” katanya pada sidang media di Pusat Krisis Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, tren bersama 213 penumpang dari Gombak dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya, menyebabkan 65 penumpang cedera termasuk 47 parah.

Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan, pihaknya memberi jaminan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren terbabit dan sentiasa memperbaiki kelancaran operasi bagi memudahkan semua pihak.

“Kita amat mementingkan aspek keselamatan penumpang dan sentiasa memperbaiki kelancaran operasi bagi memudahkan semua pihak,”katanya. 

Sementara itu, ditanya kos pembaikan dan penyelenggaraan landasan serta tren berkaitan, beliau berkata, ia akan ditentukan dan ditanggung pihak Prasarana Malaysia Berhad yang akan berurusan dengan pihak insurans untuk tindakan lanjut.

“Dalam hal ini, kita perlu pulihkan perkhidmatan pengangkutan awam. Kita memberi keutamaan dan kepentingan kepada keperluan pengguna perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.