LRT kemalangan masih beroperasi satu landasan

6

28 MEI: Perkhidmatan tren Sistem Aliran Ringan (LRT) antara Stesen KLCC dan Kampung Baru (Selatan) masih beroperasi mengikut pelan alternatif iaitu satu landasan pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memeriksa semula bagi memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail.

“Sebagai rumusan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih lagi mengikut pelan alternatif seperti yang dihuraikan semalam kerana bagi seksyen yang terlibat dalam pelanggaran tren, hanya satu landasan digunakan,” kata Ka Siong menerusi muat naik di Facebook, hari ini.

KERJA-KERJA di lapangan yang dilakukan membabitkan lapan orang anggota bertungkus-lumus bagi memastikan keselamatan rel sebelum perkhidmatan dibuka semula kepada orang ramai.

Katanya, sekitar jam 12.19 pagi tadi, pasukan pemeriksaan fizikal terdiri daripada pegawai Bahagian Penguat kuasa Rel dan Bahagian Perancangan Rel APAD memulakan kerja dengan jumlah anggota seramai lapan orang di lapangan, selain dua orang di Pusat Kawalan RRSB.

“Hasil pemeriksaan mendapati laluan kecemasan (emergency walkway) di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran (patah di bahagian tapak) serta perlu diambil tindakan pembaikan segera, manakala tiga rail clip tidak dipasang pada bahagian rel dan Rapid Rail sudah memasangnya serta-merta. 

“Pasukan Pemeriksaan APAD mengarahkan Rapid Rail menggantikan ‘linear heat detector sensor cable’ (kabel sensor pengesan haba linear) yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang lebih kurang 28.5m.

“Penggantian kabel ini bagi memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik dari Stesen KLCC sehingga Stesen Kampung Baru,” katanya .

Ka Siong berkata, bermula pada jam 3.08 pagi pula, pengujian rollover train bermula dan pemerhatian mendapati simulasi pergerakan tren berada di dalam keadaan baik. 

“Pasukan Pemeriksaan menyempurnakan misi mereka pada jam 4.30 pagi sebelum perkhidmatan LRT bermula dari 6 pagi hari ini,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.