KPDNHEP sahkan terima aduan penipuan pelitup muka

59

28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima beberapa aduan daripada orang ramai berhubung penipuan penjualan pelitup muka di pasaran sejak Januari lalu.

Penipuan itu membabitkan penjual enggan menjual, tidak menerima barang, harga mahal, produk diterima tidak sama dengan jumlah dipesan dan harga mengelirukan.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, berkata bagaimanapun kementerian itu belum menerima sebarang aduan berhubung pelitup muka tidak berkualiti atau gagal mengikut spesifikasi ditetapkan kod piawaian seperti dakwaan pihak tertentu.

“Setakat ini, aduan yang kita terima mengenai pelitup muka hanya membabitkan isu-isu lain.

ROSOL WAHID

“Pihak kementerian tidak terima aduan mengenai penipuan penjualan pelitup muka daripada segi kualitinya,” katanya ketika dihubung PN BBC, hari ini.

Rosol berkata, pihaknya sentiasa memantau aspek penjualan pelitup muka bagi memastikannya mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan, demi keberkesanan serta keselamatan terhadap pengguna.

Justeru, katanya, KPDNHEP memohon pengguna mengemukakan aduan sekiranya berdepan dengan kes penipuan membabitkan pelitup muka, termasuk tidak berkualiti atau gagal mengikut spesifikasi ditetapkan seperti didakwa di media sosial.

Beliau berkata, aduan itu penting agar pihak kementerian boleh mengambil tindakan sewajarnya mengikuti undang-undang sedia ada.

“Jika benar ada kes sedemikian, mohon pengguna segera membuat aduan dan kita akan siasat serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, wujud dakwaan pihak tertentu bahawa terdapat penipuan membabitkan penjualan pelitup muka daripada aspek tidak berkualiti atau gagal mengikut spesifikasi ditetapkan kod piawaian.

Malah ada pelitup muka yang memiliki standard lebih rendah dan hanya sesuai dikenakan untuk penggunaan harian, mengelakkan kesan jerebu atau di tempat sesak, didakwa pengeluar serta penjual mampu melindungi diri daripada COVID-19 serta dijual mahal berbanding harga pasaran ditetapkan.

Dakwaan itu turut memaklumkan, ada segelintir pengeluar mungkin mencatat sijil Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Pematuhan Eropah (CE) di kotak pelitup muka itu, tetapi tindakan itu adalah teknik pemasaran palsu serta tidak relevan kerana piawaiannya tidak menepati apa ditetapkan.

Sementara itu, Rosol sebelum ini memaklumkan kepada PN BBC bahawa KPDNHEP mengesan terdapat kilang pembuatan pelitup muka yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan kerajaan dalam penghasilan produk terbabit.

Katanya, perkara itu terbongkar melalui usaha pihak kementerian berkenaan yang turun padang secara berkala ke kilang bagi memantau proses pembuatannya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.