JKM beri amaran ibu bapa anak tular panjat beranda

28

28 MEI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberi amaran kepada ibu bapa seorang kanak-kanak lelaki yang tular videonya memanjat beranda sebuah kuarters kerajaan di Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata Ketua Balai Polis Presint 7 bersama dua pegawai JKM telah mengunjungi rumah kanak-kanak itu, petang semalam.

“Ibu bapa kanak-kanak itu diberi amaran agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka supaya kejadian tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Fadzil berkata, pegawai JKM juga telah mengambil butir-butir peribadi ibu bapa kanak-kanak tersebut dan menasihatkan agar kebajikan serta keselamatan anak-anak mereka sentiasa dijaga.

Beliau berkata polis dimaklumkan pasangan suami isteri berkenaan mempunyai enam anak dan kanak-kanak yang tular itu adalah anak keempat.

Katanya, bapa kepada kanak-kanak berkenaan adalah seorang pesara tentera, manakala ibunya seorang penjawat awam.

Sebelum itu, tular video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki sedang bermain di luar beranda sebuah pangsapuri yang kemudiannya memanjat pagar dan berjalan di sepanjang kaki lima beranda.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.