Guna 2 pelitup muka lebih baik – Dr. Noor Hisham

79

28 MEI: Penggunaan pelitup muka dua lapis, iaitu jenis perubatan yang dipakai bersama jenis kain sebagai lapisan tambahan, mampu membantu menyaring lebih banyak partikel halus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penggunaan pelitup muka dua lapis juga lebih baik, berbanding pemakaian pelitup muka jenis kain semata-mata.

“Pemakaian pelindung muka (face shield) bukan satu yang wajib.

“Namun pemakaian pelindung muka mampu membantu memberikan perlindungan maksimum,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.

GAMBAR RAJAH menunjukkan cara-cara memakai dua pelapis muka dengan betul.

Beliau turut menyertakan di hantaran itu, grafik berkaitan kajian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengenai pemakaian pelitup muka dua lapis.

Kajian itu mendapati pemakaian pelitup muka jenis kain yang digunakan bersama pelitup muka jenis perubatan dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Walaupun pemakaian dua pelitup muka akan menjadikan pernafasan sedikit sukar, secara umumnya penggunaan pelitup muka perubatan (tiga lapis atau 3 ply) bersama pelitup muka kain dapat digunakan dengan baik kebanyakan pengguna, selain tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada pemakai.

Dalam kajian sama, dinyatakan pemakaian satu lapisan pelitup muka yang tidak diikat mampu menyekat 56.1 peratus partikel halus, manakala pelitup muka jenis kain menghalang 51.4 peratus.

Pemakaian pelitup muka jenis perubatan diikat ketat pula, mampu menyekat 77 peratus partikel halus dan pemakaian dua pelitup muka jenis perubatan dan kain menghalang 85.4 peratus.

Menerusi grafik itu, turut dinyatakan panduan pemakaian dua lapisan pelitup muka yang betul, iaitu menggabungkan pemakaian pelitup muka jenis perubatan dan kain.

Gunakan pelitup muka perubatan dengan pelitup muka kain dan sebaik-baiknya, elak mengenakan dua pelitup muka perubatan atau dua pelitup muka kain sebagai pelitup muka berganda.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.