COVID-19: Angka kematian, pesakit di ICU terus meningkat

41

28 MEI: Kes kematian baharu akibat COVID-19 kembali meningkat apabila merekodkan 61 kes hari ini, berbanding 59 kes, semalam.

Jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) turut meningkat daripada 771 orang semalam, kepada 808 orang, hari ini, manakala kes memerlukan bantuan pernafasan juga bertambah sehingga 403 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 21 kluster baharu dikesan hari ini, membabitkan masing-masing enam kluster tempat kerja dan komuniti, empat kluster keagamaan, tiga kluster pendidikan, selain satu kluster bagi pusat tahanan serta kumpulan berisiko tinggi.

“Kluster tempat kerja adalah di Jalan Satu Olak, Selangor; Perusahaan Satu Batu Caves (Selangor); Kemumin (Kelantan); Tapak Bina Wangsa Perdana (Kuala Lumpur); Jalan Hospital Tampoi (Johor); dan Perusahaan Valdor (Pulau Pinang).

“Manakala kluster komuniti dikesan di Persiaran Sepang Sebelas di Selangor; Kampung Chekok (Kelantan); Kampung Teliar (Kelantan); Dah Emas Suria (Kedah); Jalan Padi (Negeri Sembilan) dan Tanjung Kepah (Komuniti),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster keagamaan pula adalah di Kampung Chubadak (Kuala Lumpur); Jalan Kampung Bukit (Pulau Pinang); Jalan Seroja Kepis (Negeri Sembilan) dan Seksyen Dua (Kuala Lumpur).

“Dua daripada kluster pendidikan pula, masing-masing di Sri Gombak Lapan (Selangor) dan Dah Pinang (Kedah) serta satu berkaitan pendidikan tinggi di Bukit Ilmu (Kelantan).

“Bagi kluster berisiko tinggi pula, membabitkan Tawar Empat (Johor), manakala kluster pusat tahanan adalah di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil 2 (Kuala Lumpur),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.