Anak nafi Isa Samad meninggal dunia

12

28 MEI: Anak kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad menolak dakwaan bapanya sudah meninggal dunia, berikutan penularan audio di media sosial, semalam.

Mohamad Najib Mohd Isa yang juga Ketua Pemuda UMNO Port Dickson dihubungi media menjelaskan bekas Menteri Besar  Negeri Sembilan sihat walafiat.

“Saya difahamkan ada audio yang tersebar mengenai berita ayah (meninggal dunia), semua itu tidak betul, ayah saya sihat walafiat.

“Kita doakan untuk beliau dan kita semua dipanjangkan umur, murah rezeki, selamat daripada sebarang fitnah dan penganiayaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Mohd Isa, 72, pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun sejak 1982, selain turut menjadi Ketua UMNO Teluk Kemang sejak 1978 hingga 2017.

Malam tadi tular satu audio berdurasi 47 saat di aplikasi WhatsApp, yang mendakwa bekas pemimpin UMNO itu meninggal dunia kira-kira jam 8 malam.

Sebelum ini, khabar angin mengenai kematian Mohd Isa itu pernah dilaporkan pada 2018 dan 2019, bagaimanapun perkara tersebut dinafikan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.